
WASHINGTON, 29 Oktober – Data lebih 41,000 kakitangan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS), didakwa telah dibocorkan oleh kumpulan bukan berasaskan keuntungan, Distributed Denial of Secrets (DDoSecrets).
- Kebocoran melibatkan maklumat kakitangan pelbagai agensi di bawah DHS, termasuk pegawai di Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS.
- Data diperoleh daripada kumpulan penggodam Department of Peace yang membangunkan alat Icepick untuk carian terperinci mengikut nama, pejabat dan tugasan.
- Pendedahan mendedahkan pegawai penyamaran, usaha mengesan pembocor, serta kakitangan utama dalam program pemindahan paksa dan pengusiran.
Jumlah itu termasuk pegawai yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan imigresen pentadbiran Presiden Donald Trump.
Menurut kumpulan berkenaan, kebocoran itu meliputi maklumat berkaitan kakitangan pelbagai agensi di bawah DHS, termasuk Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE).
DDoSecrets mendedahkan, data itu diperoleh daripada kumpulan penggodam aktivis yang dikenali sebagai Department of Peace, yang membangunkan alat bernama Icepick bagi membolehkan carian terperinci berdasarkan nama kakitangan, pejabat dan tugasan mereka.
Aktivis yang dikaitkan dengan DDoSecrets, Maia Arson Crimew, menyifatkan data berkenaan sebagai luar biasa dari segi jumlah dan kesannya, selain memberikan gambaran terperinci mengenai struktur organisasi DHS.
Pengasas bersama DDoSecrets, Emma Best, berkata data itu turut mengenal pasti pegawai yang menyelia operasi sulit dan penyamaran, usaha kerajaan mengesan pembocor maklumat serta kakitangan utama dalam program pemindahan paksa dan pengusiran pendatang.
Pendedahan itu berlaku ketika DHS dan ICE menjadi tumpuan susulan tindakan keras terhadap pendatang yang dilancarkan Trump sejak memulakan penggal kedua pentadbirannya pada Januari 2025.
Operasi berkenaan menyaksikan ribuan pendatang tanpa dokumen ditahan dan diusir, manakala sebahagian rakyat AS turut terheret dalam tindakan penguatkuasaan itu.
Bulan lalu, DHS mengumumkan peningkatan operasi di bandar perlindungan atau ‘sanctuary cities’, iaitu kawasan yang mengehadkan kerjasama antara penguat kuasa tempatan dengan pihak berkuasa persekutuan, ketika pentadbiran Trump mempergiat tindakan terhadap pendatang.
Institut Dasar Migrasi, sebuah badan bukan partisan, menyatakan DHS di bawah pentadbiran Trump memperluas operasi penahanan dan pengusiran dalam beberapa bulan kebelakangan ini, mengatasi usaha penguatkuasaan imigresen ketika pentadbiran bekas Presiden Joe Biden.
Menurut institut itu, DHS, termasuk ICE, melaksanakan kira-kira 980,000 pengusiran dalam tempoh 18 bulan pertama penggal kedua Trump. – AFP