
WASHINGTON, 29 Oktober – Amerika Syarikat (AS) menyekat import daripada tiga syarikat genomik China susulan dakwaan bahawa syarikat berkenaan mengumpul bahan genetik yang digunakan untuk menjejaki etnik minoriti yang ditindas di wilayah Xinjiang.
- DHS memasukkan BGI Genomics, MGI Tech dan Shenzhen BGI Technology dalam senarai entiti di bawah Akta Pencegahan Buruh Paksa Uyghur.
- DHS mendakwa syarikat membantu mengumpul bahan genetik untuk menjejaki etnik minoriti yang ditindas, termasuk mangsa buruh paksa.
- MGI menafikan tuduhan itu, manakala Washington rangka peraturan baharu mengehadkan pelaburan dalam bioteknologi China.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS (DHS) memaklumkan BGI Genomics, MGI Tech dan Shenzhen BGI Technology, yang turut dikenali sebagai BGI Group, telah dimasukkan ke dalam senarai entiti bawah Akta Pencegahan Buruh Paksa Uyghur.
Senarai itu mengenal pasti entiti yang didakwa bekerjasama dengan kerajaan Xinjiang dalam urusan pengambilan, pemindahan atau penempatan buruh paksa, termasuk etnik Uyghur, Kazakh, Kyrgyz dan kumpulan lain yang mengalami penindasan di wilayah berkenaan.
Menurut DHS, syarikat terbabit membantu mengumpul bahan genetik yang digunakan untuk menjejaki etnik minoriti yang ditindas, termasuk individu yang menjadi mangsa buruh paksa.
Setiausaha DHS, Markwayne Mullin, berkata pentadbiran Presiden Donald Trump tidak akan membenarkan syarikat yang dikaitkan dengan buruh paksa dan pengawasan terhadap kumpulan minoriti yang ditindas meraih keuntungan daripada pasaran AS.
Bagaimanapun, MGI menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas serta bercanggah dengan fakta.
Syarikat berkenaan turut menegaskan bahawa pihaknya tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk buruh paksa.
Pada 2022, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya jenayah terhadap kemanusiaan di Xinjiang, termasuk penahanan lebih sejuta etnik Uyghur dan minoriti Islam lain di kem.
Beijing berulang kali menafikan dakwaan pencabulan hak asasi manusia terhadap etnik Uyghur.
Tindakan terbaharu Washington itu turut menyusul cadangan pentadbiran Trump pada minggu lalu untuk memperkenalkan peraturan baharu bagi mengehadkan pelaburan dalam syarikat bioteknologi China.
Selain bioteknologi, kecerdasan buatan (AI) dan cip komputer turut menjadi sektor teknologi utama yang mendapat perhatian dalam persaingan ekonomi antara Washington dengan Beijing. – AFP