
SLIM RIVER, 29 Oktober – Seorang pemandu lori kurier maut selepas tersepit dalam nahas jalan raya membabitkan tiga buah lori di susur keluar Tol Slim River arah utara, malam tadi.
- Tiga lori muatan kurier, sayur dan ikan terbabit dalam kemalangan.
- Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mewujudkan ruang mengeluarkan mangsa tersepit.
- Mangsa lelaki 31 tahun disahkan meninggal oleh KKM; dua pemandu lain tidak mengalami kecederaan dan mayat diserahkan polis.
Mangsa, berusia 31 tahun maut di lokasi kejadian manakala dua lagi pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.56 malam.
“Kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan kurier, sebuah lori tiga tan membawa muatan sayur dan sebuah lori 10 tan membawa muatan ikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River menggunakan peralatan menyelamat bagi mewujudkan ruang untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.