
KOTA BHARU, 29 Oktober — Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 25 tan metrik beras putih jenis Super Import yang disyaki diseludup dari Thailand, di Paloh, Pasir Mas, pada Selasa lalu.
- Pemandu lori berusia 38 tahun ditahan dan sebuah lori Hino disita semasa Ops Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 11 malam.
- Task Force mengesan lori Hino hitam mencurigakan di Kampung Pangkal Senor, laluan Kota Bharu–Gua Musang.
- Pemeriksaan menemui 500 kampit beras 50 kg setiap satu, nilai beras dianggarkan RM100,000.
- Dua invois dirampas; modus dipercayai menggunakan invois perantaraan palsu. Kes diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras negeri untuk siasatan Seksyen 20.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata turut ditahan pemandu lori berusia 38 tahun selain menyita sebuah lori Hino menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 11 malam.
Beliau berkata, pasukan Task Force Komander Briged Tenggara mengesan sebuah lori Hino berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan di sekitar Kampung Pangkal Senor, laluan Kota Bharu–Gua Musang.
“Pemeriksaan mendapati lori itu membawa 500 kampit beras putih seberat 50 kilogram (kg) setiap satu, dengan nilai beras dianggarkan RM100,000.
“Pemandu lori mengemukakan dua salinan invois bagi menjelaskan sumber dan tujuan penghantaran beras berkenaan. Bagaimanapun, terdapat keraguan terhadap maklumat lokasi penghantaran yang tercatat dalam dokumen itu,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk lori dianggarkan bernilai RM550,000.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan dipercayai membabitkan penggunaan invois perantaraan yang disyaki palsu bagi mengaburi pihak berkuasa ketika pemeriksaan dijalankan.
“Dua salinan invois itu dirampas untuk semakan lanjut bagi mengesahkan ketulenan dokumen serta mengenal pasti pihak yang mengeluarkan dan menggunakannya,” katanya
Ahmad Radzi berkata kes berkenaan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negara Negeri Kelantan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.