
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Kedutaan Besar Malaysia di Madrid masih menunggu pengesahan pihak berkuasa Sepanyol berhubung kemungkinan rakyat Malaysia terlibat dalam perlanggaran dua kereta api penumpang berkelajuan tinggi berhampiran Urda, Toledo, Sepanyol.
- Kedutaan telah menghubungi pihak berkuasa Sepanyol dan pengendali kereta api untuk mendapatkan pengesahan serta senarai mangsa.
- Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang menghubungi pihak kedutaan mengenai insiden itu.
- Kementerian Luar Negeri memaklumkan kedutaan memantau rapat dan akan menyelaras bantuan konsular jika diperlukan.
- Rakyat Malaysia di Sepanyol diminta hubungi talian kecemasan +34 659 894 943 atau e-mel mwmadrid@kln.gov.my untuk pengesahan dan bantuan konsular.
Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Haznah Md Hashim berkata, pihak kedutaan telah menghubungi pihak berkuasa Sepanyol dan pengendali kereta api yang terlibat bagi mendapatkan pengesahan serta senarai mangsa.
“Kita masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa Sepanyol dan pengendali kereta api berkenaan. Kita telah menghubungi semua pihak terbabit dan masih menunggu senarai mangsa yang terlibat.
“Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang menghubungi pihak kedutaan berhubung insiden itu,” katanya ketika dihubungi pemberita RTM.
Terdahulu dalam kenyataan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Madrid sedang memantau rapat perkembangan insiden itu dan akan menyelaras bantuan konsular sekiranya diperlukan.
Perlanggaran yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 8.54 pagi waktu tempatan pada 28 Oktober itu mengakibatkan kematian dan kecederaan, manakala operasi menyelamat masih diteruskan.
Susulan kejadian itu, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi antara Madrid dan Andalusia dilaporkan digantung.
Rakyat Malaysia yang berada di Sepanyol dan berkemungkinan terjejas diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid menerusi talian kecemasan 24 jam +34 659 894 943 atau e-mel mwmadrid@kln.gov.my bagi membantu proses pengesahan serta mendapatkan bantuan konsular.