GP Qatar: Cabaran besar bagi SIC

Foto BERNAMA

SEPANG, 28 Oktober – Kekangan kos, jadual litar yang padat serta keperluan mendapatkan kelulusan kerajaan menjadi cabaran utama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekiranya diminta mengambil alih penganjuran Grand Prix (GP) Qatar dalam kalendar MotoGP musim ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • SIC belum menerima sebarang permintaan rasmi atau mengadakan perbincangan untuk menggantikan GP Qatar.
  • Pertindihan tarikh dengan pusingan kelima China GT dan kargo peralatan yang sudah dihantar menyukarkan perubahan jadual pada saat akhir.
  • Keputusan muktamad memerlukan persetujuan kerajaan kedua negara serta pemegang hak komersial MotoGP, bukan keputusan SIC semata-mata.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif menyatakan sebarang keputusan perlu mengambil kira kemampuan menanggung kos penganjuran, ketersediaan litar serta persetujuan kerajaan Malaysia dan pemegang hak komersial MotoGP.

Katanya, perkara itu masih bersifat spekulasi dan SIC belum menerima sebarang permintaan atau mengadakan perbincangan rasmi berhubung kemungkinan menggantikan GP Qatar.

“Kita perlu melihat kos penganjuran dan pihak yang akan menanggung perbelanjaan itu. Kita juga perlu meneliti jadual kerana selepas MotoGP Malaysia, litar sudah mempunyai tempahan yang ditetapkan ” katanya pada satu sidang media di SIC, di sini pada Rabu.

Cabaran itu turut melibatkan pertindihan jadual GP Qatar, yang berlangsung dari 6 hingga 8 November ini, dengan pusingan kelima China GT 2026 di SIC.

Menurut beliau penghantaran kargo yang membawa peralatan bagi perlumbaan China GT ke Sepang turut menyukarkan sebarang perubahan jadual pada saat akhir.

“Paling utama, perkara ini memerlukan persetujuan kerajaan Malaysia dan pihak berkaitan di Qatar. Keputusan muktamad bukan terletak pada SIC semata-mata, sebaliknya perlu dipersetujui bersama kerajaan kedua-dua negara serta pemegang hak perlumbaan” katanya.

GP Qatar yang pada asalnya dijadual berlangsung pada 10 hingga 12 April lalu ditangguhkan ke 6 hingga 8 November susulan situasi geopolitik di Asia Barat.

Sementara itu, MotoGP Malaysia 2026 dijadual berlangsung di SIC dari 30 Oktober hingga 1 November ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.