STR, SARA ringankan beban harian

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus membantu golongan memerlukan menampung perbelanjaan harian, termasuk pembelian makanan, pembayaran bil utiliti dan keperluan persekolahan anak-anak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan STR dan SARA ditingkatkan kepada RM16 bilion untuk 2027, naik daripada RM15 bilion tahun ini.
  • Semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, dijangka manfaatkan hingga sembilan juta.
  • Rakyat 18 tahun ke atas yang tidak terima STR akan dapat SARA MADANI RM100 dua kali, manfaatkan hingga 13 juta termasuk M40.
  • Tinjauan dan penerima menyatakan bantuan mengurangkan tekanan kewangan; permintaan agar syarat kelayakan dikaji semula mengikut pendapatan dan tanggungan.

Manfaat itu diteruskan pada 2027 menerusi peningkatan peruntukan STR dan SARA kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion tahun ini.

Menerusi Belanjawan MADANI 2027, semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, yang dijangka memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima.

Selain itu, rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang tidak menerima STR akan mendapat SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan Hari Kebangsaan, yang dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat termasuk golongan M40.

Tinjauan RTM mendapati rata-rata penduduk menyifatkan bantuan itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan kewangan, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Salah seorang peniaga, Idris Tajudin berkata bantuan diterima membantu pendapatannya sebagai penjaga tepi jalan.

“Macam kita orang, orang susah pun macam saya jaga tepi jalan macam ini, terima itu kira bantu ekonomi saya.

“Kalau boleh diteruskanlah, tambah lagi sikit”, katanya.

Warga emas, Harun Talib mengakui bantuan berkenaan sangat bermakna dalam membantu menampung keperluan dirinya dan isteri yang sudah lanjut usia serta memerlukan perbelanjaan untuk membeli ubat-ubatan.

“Pakcik ini 80 tahun, makcik ini 82 tahun. umur dah penyakit banyak.

“Jadi banyakkan beli ubatlah, makan kurang.

“Tapi bila ada dapat sikit ini, Alhamdulillah”, ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penerima Wan Ahmad Termizi Wan Kassim berkata bantuan berkenaan dapat digunakan untuk membayar bil air serta menampung perbelanjaan tambahan ketika musim perayaan dan sesi persekolahan.

“Amat bersyukurlah untuk menampung mana-mana tak cukup itu, bayar bil air apa semua.

“Kalau perayaan itu memang pakai duit banyaklah. Buka sekolah, kita kasut, baju sekolah kita pakai itulah buat tampung-tampung yang mana tak cukup”, ujarnya.

Dalam pada itu, terdapat segelintir pandangan yang berharap kerajaan dapat mengkaji semula syarat kelayakan dengan mengambil kira pendapatan dan jumlah tanggungan isi rumah.

Ali Ahmad Arwan berkata kelonggaran syarat kelayakan, khususnya berkaitan pendapatan isi rumah, dapat membantu golongan yang masih memerlukan.

“Harap kerajaan boleh bagi kelonggaran pada yang menerima STR, kelayakan minimum gaji atau pendapatan harian untuk serumah”, jelasnya.

Perkara sama turut disuarakan Hamdan Sharif yang berharap kerajaan mempertimbangkan kelonggaran syarat bagi warga emas yang masih berdepan kekangan kewangan.

“Saya tak ada masalah, bagi saya itu adalah kehendak Allah.

“Kalau kerajaan prihatin, berikanlah kelonggaran syarat-syarat kepada warga emas ini.”, ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.