
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Tujuh pemain golf amatur negara berkongsi misi sama iaitu untuk melakar sejarah serta mencatat keputusan terbaik buat Malaysia menjelang Kejohanan Golf Amatur Asia-Pasifik (AAC) edisi ke-17 yang akan membuka tirainya di Te Arai Links, New Zealand, pada Khamis.
- Anson Yeo muncul sebagai kapten, buat penampilan kelima berturut-turut; sasar catatan bawah par setiap pusingan dan kelompok 10 terbaik.
- Nateesh Ganesh anggap peluang AAC istimewa; pemenang dapat tempat ke dua kejohanan utama, beliau fokus pada setiap pukulan.
- Cabaran padang Te Arai Links ialah angin kuat dan corak links; pemain perlu pukulan rendah serta kreativiti di kawasan green luas.
- Rekod terbaik Malaysia T7 dicapai beberapa pemain; juara AAC akan menerima tiket berprestij ke The Masters dan The Open.
Skuad negara kali ini diketuai oleh Anson Yeo yang membuat penampilan kelima berturut-turut, selepas mencatat keputusan terbaik peribadinya iaitu di kedudukan ke-21 bersama (T21) di Dubai, tahun lalu.
Anson 20 tahun, meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan dengan catatan bawah par pada setiap pusingan demi memburu kedudukan 10 terbaik buat kali pertama.
“Setiap tahun ada peningkatan bagi saya. Sasaran saya tahun ini adalah untuk mencatat bawah par setiap pusingan dan memburu kelompok 10 terbaik.
“Cabaran terbesar di sini adalah faktor angin yang sangat kuat, seperti perbezaan tiga kelab. Impian saya adalah untuk ke The Masters dan The Open, saya harap saya menjadi rakyat Malaysia pertama melakukannya,” jelasnya.
Turut membarisi cabaran negara ialah pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Nateesh Ganesh, Hariz Hezri, Aiden Kei, Danish Rizal, Maverick Chua (16 tahun) serta wakil termuda kejohanan berusia 15 tahun, Afham Othman.
Bagi Nateesh, 21, peluang tersebut merupakan idaman setiap pemain amatur.
“Satu penghormatan dapat beraksi lagi di AAC. Pemenang akan mendapat tempat di dua kejohanan ‘major’, ia amat bermakna.
“Namun apabila berada di atas padang, saya tidak mahu terlalu memikirkannya.
“Saya hanya akan fokus dan memberikan komitmen pada setiap pukulan, selebihnya kita lihat apa yang berlaku,” katanya.
Bagi pemain termuda, Afham Othman, yang mula berjinak-jinak dengan sukan ini empat tahun lalu, beliau turut meluahkan keterujaannya beraksi di padang bertaraf dunia seperti Te Arai Links.
“Cabaran utama di sini adalah angin yang tiada di Malaysia. Kami perlu melakukan pukulan rendah dan lebih kreatif di kawasan ‘green’ yang luas,” katanya.
Cabaran sama turut dirasai Aiden Kei, 21 tahun, yang mengakui perlu cepat menyesuaikan diri dengan corak padang jenis links, manakala Maverick Chua telah melakukan persiapan selama sebulan di Gold Coast, Australia bagi melatih pukulan rendah dalam keadaan berangin.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penganjuran AAC sejak 2009 adalah tempat ketujuh yang pernah dilakar oleh Mohd Iszaimi Ismail (2009), Ervin Chang (2018) dan Marcus Lim (T7 pada 2023).
Taruhan edisi kali ini cukup besar apabila juara kejohanan bakal menerima tiket berprestij untuk beraksi di dua kejohanan utama (majors) dunia tahun hadapan, iaitu The Masters dan The Open.
Kejohanan berprestij amatur rantau ini turut menyaksikan pemain Thailand, Fifa Laopakdee turun mempertahankan kejuaraannya, dicabar barisan pemain hebat lain seperti Zhou Ziqin (China), Jaden Dumdumaya (Filipina), Taisei Nagasaki (Jepun), Harry Takis (Australia) dan wakil tuan rumah, Joshua Bai.