Empat pegawai RTM ditauliah Munsyi Muda Bahasa

Dari kiri: Mohd Fazreen Mohd, Mat Yunus Sabri, Affendi Abdul Karim dan Mohd Fauzee Jaffar

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Empat pegawai daripada Jabatan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini menerima pengiktirafan ditauliah sebagai Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam, bersama penjawat awam daripada kementerian lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebagai Munsyi Muda Bahasa, tanggungjawab memastikan penggunaan bahasa Melayu tepat, teratur dan meningkatkan mutu penyampaian maklumat rasmi.
  • Bahasa menjadi jambatan antara maklumat dan rakyat; penyampaian jelas diperlukan supaya mesej sampai dengan berkesan.
  • Media mesti menjadi contoh penggunaan bahasa Melayu yang betul manakala Munsyi Muda berperanan sebagai rujukan bahasa rasmi.
  • Penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka serta INTAN; ilmu program diharap dapat dimanfaatkan di jabatan dan kementerian.

Mereka menyifatkan pengiktirafan itu sebagai amanah besar untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan teratur, sekali gus meningkatkan mutu penyampaian maklumat rasmi kerajaan.

“Ini merupakan amanah dan tanggungjawab besar untuk memperkasa bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam bidang penyiaran dan kewartawanan.

“Dalam konteks RTM, bahasa ialah jambatan antara maklumat dengan rakyat. Kita mungkin mempunyai maklumat penting dan fakta yang tepat, tetapi jika penyampaiannya sukar difahami, mesej itu tidak akan sampai dengan berkesan kepada rakyat,” kata Mohd Fauzee Jaffar, Penolong Pengarah Berita TV RTM.

“Harapan saya agar penulisan bahasa dan berita di Jabatan Penyiaran Malaysia sentiasa teratur serta menggunakan bahasa Melayu yang betul. Kita merupakan antara rujukan utama orang ramai dalam penggunaan bahasa Melayu,” kata Affendi Abdul Karim.

“Media memainkan peranan besar dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan berwibawa. Penggunaan bahasa yang baik oleh media akan menjadi contoh kepada khalayak umum, manakala Munsyi Muda Bahasa pula berperanan sebagai rujukan yang tepat,” kata Mat Yunus Sabri.

“Saya berterima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka serta INTAN kerana memberi peluang kepada kami di RTM untuk bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memperluas penggunaannya kepada generasi akan datang,” kata Mohd Fazreen Mohd.

“Sebagai Munsyi Muda Bahasa, saya melihatnya sebagai peranan dan tanggungjawab yang penting, khususnya sebagai rujukan kepada jabatan dan agensi kerajaan dalam menyediakan dokumen rasmi yang lengkap, teratur dan menggunakan bahasa Melayu yang betul,” kata Dr. Kee Lai Sien, dari Jabatan Penerangan .

“Saya berterima kasih atas peluang yang diberikan kerana menerusi program ini, penjawat awam dapat menambah ilmu dan pengetahuan. Ilmu yang diperoleh diharap dapat dimanfaatkan dalam jabatan dan kementerian masing-masing,” kata Muhamad Nabil Fitri Malek dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.