Senat Perancis lulus RUU pampasan kerosakan demonstrasi

Foto AFP

PARIS, 28 Oktober – Senat Perancis meluluskan rang undang-undang (RUU) yang membolehkan peserta demonstrasi dipertanggungjawabkan atas kerosakan harta benda, meskipun langkah itu dikritik kerana berpotensi menyekat hak berhimpun secara aman.

RINGKASAN BERITA AI
  • 229 undi menyokong, 105 menentang; RUU kini dibahas dan diundi di Dewan Negara.
  • RUU dicadangkan susulan rusuhan selepas final Liga Juara Eropah dan keganasan protes 17 Oktober yang merosakkan ribuan premis.
  • Peserta boleh diarahkan membayar pampasan sehingga 10,000 euro; tanggungjawab bersama dikenakan terhadap penyokong kumpulan vandalisme.
  • Pengkritik kata tindakan itu hukuman kolektif, membahayakan golongan miskin; Amnesty gesa tarik balik kerana penyitaan bantuan memburukkan orang rentan.

RUU itu diluluskan dengan 229 undi menyokong berbanding 105 menentang dan kini akan dibahaskan serta diundi di Dewan Negara.

Cadangan itu digubal susulan rusuhan selepas final Liga Juara Eropah UEFA pada Mei lalu dan keganasan semasa protes berkaitan ketidaksamaan serta kenaikan harga pada 17 Oktober yang mengakibatkan ribuan premis perniagaan dirosakkan dan dirompak.

Bawah RUU berkenaan, peserta demonstrasi boleh diarahkan membayar pampasan sehingga 10,000 euro.

Tanggungjawab kewangan bersama juga boleh dikenakan terhadap individu yang sengaja menyertai kumpulan yang dibentuk untuk melakukan vandalisme.

RUU itu turut membenarkan penyitaan bantuan kebajikan dan perumahan bagi menampung kos kerosakan, termasuk beberapa faedah sosial lain yang ditambah dalam pindaan terbaharu.

Bagaimanapun, pengkritik bimbang individu yang tidak melakukan vandalisme turut dikenakan tindakan.

Senator berhaluan kiri dan kumpulan hak asasi manusia menyifatkan langkah itu sebagai hukuman kolektif yang boleh menjejaskan golongan miskin serta kebebasan berhimpun.

Amnesty International menggesa kerajaan menarik balik RUU itu kerana penyitaan bantuan keluarga dan perumahan boleh memburukkan keadaan golongan rentan.

Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez berkata tindakan tegas diperlukan supaya majoriti rakyat tidak menanggung kerugian akibat perbuatan segelintir individu.

Dalam perkembangan berkaitan, Senat turut meluluskan RUU yang mewajibkan platform media sosial memadam kandungan yang menyeru pemberontakan atau tindakan bersenjata terhadap negara dalam tempoh 24 jam, atau berdepan kemungkinan disekat. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.