KPM perjelas isu tender makanan bermasak

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil pendirian tegas dalam mempertahankan integriti dan tatakelola perolehan negara susulan pelbagai isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkaitan tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) Fasa Dua Tahun 2026 bagi tempoh 2027 hingga 2029.

RINGKASAN BERITA AI
  • 245 tender diiklankan; 242 dianugerahkan, dua dibatalkan, satu ditangguhkan.
  • Jurang nilai kontrak disebabkan kategori institusi dan bilangan murid; sekolah sukan memerlukan peruntukan makanan bernutrisi lebih tinggi.
  • Kontrak berasaskan konsep sedia, masak dan hidang di dapur sekolah; alamat pendaftaran syarikat untuk rekod pentadbiran rasmi.
  • Syarikat wajib berdaftar MOF kod 040103, patuh PKKM, modal pusingan 3-5% dan semakan silang perbankan; KPM perkemas tadbir urus.

Ketua Setiausaha KPM, Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, pihak kementerian sentiasa komited memastikan setiap perolehan kerajaan dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan berlandaskan tatacara perolehan semasa yang sedang berkuat kuasa.

“Bagi Tender BMB Fasa 2 Tahun 2026, sebanyak 245 tender telah diiklankan melibatkan 62,641 petender dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 242 tender telah diberikan kepada syarikat yang berjaya, manakala dua tender dibatalkan bagi tujuan kerja menaik taraf blok asrama dan satu tender ditangguhkan berikutan perubahan tarikh kuat kuasa kontrak” katanya menerusi kenyataan media.

Berhubung isu jurang nilai kontrak yang mencecah sehingga RM38.7 juta, kementerian memperjelaskan bahawa perbezaan tersebut dipengaruhi oleh kategori institusi dan jumlah murid.

“Sekolah sukan memerlukan peruntukan lebih tinggi antara RM90.84 hingga RM92.93 seorang murid sehari untuk menu bernutrisi tinggi atlet berprestasi tinggi, berbanding sekolah biasa yang mencatatkan anggaran kos antara RM26.10 hingga RM31.65 seorang murid sehari” katanya.

KPM turut merungkai persoalan teknikal termasuk dakwaan latar belakang syarikat dan alamat perniagaan dengan menegaskan bahawa kontrak ini berteraskan konsep “sedia, masak dan hidang” (cook and serve) sepenuhnya di dapur premis sekolah, manakala alamat pendaftaran syarikat hanya untuk rekod pentadbiran rasmi.

Bagaimanapun, kementerian mengambil maklum isu perkongsian alamat syarikat dan berjanji menelitinya untuk memperkukuh tadbir urus.

Dari sudut kelayakan, setiap syarikat yang berjaya disahkan berdaftar dengan Kementerian Kewangan (MOF) di bawah Kod Bidang 040103, mematuhi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), serta wajib mempunyai modal pusingan sekurang-kurangnya tiga hingga lima peratus berserta semakan silang kewangan perbankan.

Menjawab dakwaan mengenai merit lokaliti seperti isu tender Asrama SMK Seri Badong di Kedah, semakan rasmi menerusi sistem e-Perolehan membuktikan petender yang berjaya sebenarnya mempunyai alamat berdaftar di Yan, Kedah.

KPM menegaskan tiada sebarang penarikan balik keputusan tender yang dimuktamadkan dan kementerian akan terus memperkemas tadbir urus dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pemakanan, keselamatan, serta kebajikan murid di seluruh negara sentiasa terpelihara pada tahap terbaik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.