
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kenyataan berunsur negatif dan keterlaluan oleh warganet di media sosial dikenal pasti antara faktor yang boleh mencetuskan perpecahan kaum di negara ini.
- Malaysia kaya dengan kepelbagaian bahasa, etnik dan dialek, sekitar 130 bahasa dan dialek mencerminkan keunikan negara.
- Kritikan warganet penting untuk pembinaan masyarakat tetapi perlu disampaikan secara betul dan bertanggungjawab.
- KPN memperkenalkan tema Bersama Membina Negara Bangsa untuk mengukuhkan perpaduan dan memastikan tiada golongan masyarakat terpinggir.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, penggunaan media sosial untuk menyebarkan kenyataan sedemikian perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan ketegangan antara kaum serta memelihara keharmonian masyarakat.
“Jika kita lihat di rantau ini, Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian bahasa, etnik dan dialek. Kita mempunyai lebih kurang 130 bahasa dan dialek yang digunakan, dan ini merupakan satu keunikan yang cukup hebat.
“Kadangkala, kita melihat terdapat isu tertentu di media sosial. Seperti yang saya ingin petik, ‘The citizens are united, only the netizens are sometimes divided (“Rakyat bersatu, tetapi pengguna media sosial kadangkala berpecah belah),” ujarnya semasa Majlis Hi-Tea Timbalan Menteri Perpaduan Negara Bersama Media, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau bersetuju kritikan warganet atau netizen adalah penting dalam membina sesuatu masyarakat, namun, ia haruslah di sampaikan dalam kaedah yang betul.
Yuneswaran berkata, isu perpaduan kaum bukan hanya berkait dengan aspek keagamaan, malah turut dipengaruhi faktor dasar seperti jurang ekonomi, jurang sosial dan ketidakseimbangan pembangunan sosioekonomi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperkenalkan pendekatan baharu tahun ini menerusi tema ‘Bersama Membina Negara Bangsa’ bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.
Pendekatan itu bertujuan memastikan tiada golongan masyarakat yang terpinggir, termasuk mereka yang kurang berkemampuan atau berdepan kekangan dari segi lokaliti, pemilikan harta dan kedudukan sosial.
“Kita mahu semua rakyat Malaysia dapat menikmati secebis rasa perpaduan dalam negara kita yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan subetnik,” katanya.
media
Beliau mewakili KPN merakamkan penghargaan kepada pihak media atas kerjasama dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan bermanfaat kepada masyarakat umum.