
KUANTAN, 27 Oktober – Penjaja dan peniaga kecil di Pahang disaran untuk mendaftar segera perniagaan mereka bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada menerima pelbagai bentuk bantuan serta insentif yang disediakan kerajaan.
- Manfaatkan limpahan ekonomi daripada projek ECRL dan Pahang Aerospace City.
- Beralih daripada sektor informal kepada formal untuk pertumbuhan ekonomi dan tadbir urus perniagaan yang lebih teratur.
- Buat perancangan jangka panjang serta tingkatkan kualiti perkhidmatan bagi memenuhi citarasa pelancong tempatan dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, langkah itu juga penting bagi membolehkan mereka merebut dan memanfaatkan limpahan ekonomi daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pembangunan Pahang Aerospace City (PAC).
Tambahnya juga, penjaja dan peniaga kecil perlu beralih daripada sektor informal kepada formal bagi pertumbuhan ekonomi negara selain memperkukuh tadbir urus perniagaan yang lebih teratur.
“Jangan sampai mereka hanya mengambil tindakan selepas kerajaan negeri menyelesaikan perancangan pada 2030.
“Jika mereka menunggu sehingga ketika itu, peluang untuk menguasai ruang ekonomi yang tersedia mungkin terlepas kerana mereka belum mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Inisiatif Makmur Pahang 2026 Kluster B40 kepada 351 penjaja dan peniaga kecil di kawasan Parlimen Paya Besar, di sini.
Datuk Seri Mohd Shahar turut berharap golongan berkenaan membuat perancangan jangka panjang sebagai persediaan menghadapi pertambahan pelancong susulan pelaksanaan dua projek berimpak tinggi di Pantai Timur berkenaan.
Beliau menggesa penjaja dan peniaga kecil meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi memenuhi pelbagai keperluan dan cita rasa pengunjung dari dalam dan luar negara.