Israel robohkan rumah penduduk di Selatan Lubnan

Rakaman CCTV merobohkan rumah penduduk di Selatan Lubnan di depan mata mangsa/Foto VIORY

LUBNAN, 27 Oktober – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah jentolak yang dipercayai milik tentera Israel merobohkan sebuah rumah penduduk di Nabatieh, selatan Lubnan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa rumah di bandar Zawtar al-Sharqiya dilaporkan dirobohkan menggunakan jentolak tentera Israel.
  • Tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan itu.
  • Susulan rundingan di Tampa, Lubnan tuntut pengunduran Israel; Israel mahu Hezbollah dilucutkan senjata, Hezbollah enggan selagi tentera Israel kekal.

Rakaman yang dikongsi penduduk, Abdullah Abbas, di Facebook pada Ahad itu menunjukkan jentolak merempuh pintu pagar sebelum meruntuhkan dinding rumah berkenaan.

Sementara itu, media Lubnan melaporkan beberapa rumah di bandar Zawtar al-Sharqiya turut dirobohkan menggunakan jentolak tentera Israel.

Bagaimanapun, tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan itu.

Kejadian berkenaan berlaku selepas delegasi tentera Lubnan dan Israel mengadakan rundingan yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) di Tampa, Florida, minggu lalu.

Rundingan itu membincangkan pelaksanaan rangka kerja perjanjian serta kawasan di selatan Lubnan yang dijangka menyaksikan pengunduran tentera Israel.

Lubnan menuntut supaya serangan Israel dihentikan dan semua tenteranya berundur dari wilayah negara itu.

Namun, Israel mahu kumpulan Hezbollah dilucutkan senjata, sedangkan kumpulan itu enggan berbuat demikian selagi tentera Israel masih berada di Lubnan. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.