Pemilik kenderaan berisiko tanggung kos pembaikan tanpa perlindungan banjir

Polisi insurans motor komprehensif tidak semestinya melindungi kerosakan akibat banjir

SHAH ALAM, 27 Oktober – Pemilik kenderaan berisiko menanggung sendiri kos pembaikan akibat banjir sekiranya, polisi insurans masing-masing tidak merangkumi perlindungan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polisi insurans motor komprehensif tidak semestinya meliputi kerosakan akibat banjir; ia bergantung pada terma serta perlindungan tambahan.
  • Semak polisi atau rujuk ejen atau broker; tanpa perlindungan banjir, kos pembaikan boleh sangat tinggi terutamanya bagi kenderaan elektronik moden.
  • MetMalaysia menjangkakan Monsun Timur Laut hingga Mac 2027; fasa awal mungkin membawa tiga hingga lima episod hujan lebat meningkatkan risiko banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon memberitahu polisi insurans motor komprehensif tidak semestinya melindungi kerosakan akibat banjir kerana perlindungan itu bergantung pada terma polisi serta perlindungan tambahan yang diambil.

Justeru, beliau menasihatkan pemilik kenderaan untuk menyemak polisi atau mendapatkan penjelasan daripada ejen, broker atau syarikat insurans bagi memastikan skop perlindungan yang dimiliki.

“Pemilik perlu menyemak polisi insurans masing-masing bagi memastikan mereka mempunyai perlindungan banjir.

“Jika kenderaan ditenggelami banjir tanpa perlindungan berkenaan, pemilik tidak akan menerima pampasan bagi kerosakan itu dan kos pembaikan boleh menjadi sangat tinggi, terutama bagi kenderaan moden yang dilengkapi pelbagai sistem elektronik,” katanya kepada RTM, baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu berkata, pemilik kediaman juga perlu menyemak perlindungan insurans masing-masing kerana polisi asas kebakaran tidak semestinya melindungi kerosakan akibat banjir.

“Polisi insurans pemilik rumah boleh menawarkan perlindungan lebih luas, termasuk terhadap risiko banjir, ribut petir dan ribut hujan.

“Pemilik kediaman perlu memastikan perlindungan yang dimiliki bersesuaian dengan risiko yang dihadapi memandangkan kos pembaikan dan pengubahsuaian selepas banjir boleh menjadi tinggi,”jelasnya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Monsun Timur Laut 2026/2027 dijadual bermula hari ini dan berterusan hingga Mac 2027.

Fasa awal monsun dari November hingga Januari dijangka menyaksikan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan yang berpotensi mengakibatkan banjir, terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.