Lufthansa sambung semula penerbangan terus Kuala Lumpur-Frankfurt

Foto RTM

SEPANG, 26 Oktober – Perkhidmatan penerbangan terus Lufthansa antara Kuala Lumpur dan Frankfurt dilancarkan semula, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk meningkatkan ketibaan pelancong dari Jerman dan pasaran Eropah ke Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laluan dijangka memperkukuh hubungan udara Malaysia-Jerman serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan perniagaan.
  • Lufthansa akan mengendalikan laluan lima kali seminggu, menambah pilihan perjalanan antara Malaysia dan Eropah.
  • Kerajaan meneruskan usaha membawa lebih banyak laluan antarabangsa sambil mempromosi kempen Melawat Malaysia 2026 hingga 2027.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, laluan itu dijangka memperkukuh hubungan udara antara Malaysia dengan Jerman serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan perniagaan.

“Hubungan baharu ini terjalin pada masa yang tepat ketika Malaysia giat mempromosi kempen Melawat Malaysia 2026–2027.

“Laluan udara yang kukuh dan boleh dipercayai penting untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa serta memastikan Malaysia mudah dikunjungi dan kekal berdaya saing dalam pasaran pelancongan global,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man pada Majlis Menyambut Ketibaan Penerbangan Sulung Lufthansa dari Frankfurt di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, hari ini.

Lufthansa akan mengendalikan laluan berkenaan lima kali seminggu sepanjang tahun, sekali gus menambah pilihan perjalanan antara Malaysia dan Eropah.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, Malaysia menerima 1.18 juta pelawat dari Eropah, meningkat 1.2 peratus berbanding 1.16 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 116,804 pelawat adalah dari Jerman, manakala lebih 700 syarikat dari negara berkenaan kini beroperasi di Malaysia.

Sementara itu, Chiew berkata, penerbangan terus berkenaan diharap dapat menarik lebih ramai pelancong bukan sahaja dari Jerman, malah dari negara Eropah lain.

Menurutnya, kepelbagaian produk pelancongan negara mampu menjadi tarikan kepada pasaran Eropah, selain memperkukuh potensi Malaysia sebagai hab penghubung antara Asia Tenggara dan Eropah.

Kerajaan akan terus berusaha membawa lebih banyak laluan penerbangan antarabangsa ke Malaysia bagi merancakkan industri pelancongan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.