
KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang memperkemas sistem pemulihan atlet negara menerusi pendekatan yang lebih komprehensif bagi memastikan kesihatan dan kesiapsiagaan mereka dinilai sepenuhnya sebelum kembali beraksi.
- KBS komited memperkukuh sistem sokongan atlet, memberi fokus kepada sains sukan dan perubatan sukan.
- Garis panduan khusus dibangunkan untuk memperbaiki pengurusan pemulihan dan sokongan sepanjang rawatan atlet.
- Protokol diseragamkan supaya atlet hanya kembali bertanding berdasarkan penilaian perubatan, bukan tekanan untuk keputusan segera.
- Penubuhan lembaga perubatan sukan dan penambahbaikan pusat rehabilitasi serta psikologi prestasi tingkatkan akauntabiliti dan pendekatan berbilang disiplin.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen kementerian untuk memperkukuh sistem sokongan atlet negara, khususnya dalam aspek sains sukan dan perubatan sukan.
Beliau berkata, satu garis panduan khusus juga dibangunkan baru-baru ini bagi menambah baik pengurusan pemulihan dan sokongan sepanjang proses rawatan atlet.
“Kita sudah mempunyai sistem sedia ada, dan apa yang kita mahu lakukan adalah memperkemas serta membangunkan sebuah ekosistem yang menyeluruh untuk semua atlet.
“Kita berharap usaha ini dapat menyelaraskan sokongan kepada atlet dengan lebih baik serta meningkatkan proses pemulihan mereka berteraskan sains sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KBS berhasrat menyeragamkan protokol pemulihan agar atlet hanya dibenarkan kembali bertanding berdasarkan penilaian perubatan, bukannya akibat tekanan untuk memburu keputusan segera.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ahli Lembaga Perubatan Sukan dan Sains Sukan Institut Sukan Negara (ISN), serta merasmikan Performance Psychology & Wellness Centre dan High Performance Rehabilitation Centre yang telah dinaik taraf di Bukit Jalil, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan pentingnya peranan pakar perubatan sukan dan perbincangan kolektif antara semua pihak berkepentingan bagi mengelakkan atlet beraksi dalam keadaan cedera.
“Perbincangan teliti antara ISN, jurulatih dan pihak berkaitan amat penting sebelum sebarang keputusan dibuat. Akhirnya, kita mahu keputusan yang tepat dan menyeluruh demi masa depan serta kesihatan atlet itu sendiri,” katanya.
Lembaga Perubatan Sukan dan Sains Sukan berkenaan dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Zulkharnain Ismail, manakala Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Vellapandian Ponnusamy berperanan sebagai ahli institut bersama barisan pakar pelbagai disiplin.
Penubuhan lembaga di bawah Seksyen 17(1) Akta Institut Sukan Negara 2011 (Akta 729) itu menjadi pemangkin dalam memelihara standard profesional akauntabiliti dan memacu sains sukan selaras dengan keperluan sukan berprestasi tinggi negara.