
KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Usaha memperkukuh tenaga pakar psikiatri dipergiat Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan memenuhi keperluan rawatan kesihatan mental yang semakin meningkat.
- Latihan kepakaran psikiatri diperluas untuk menangani kekurangan tenaga pakar dan meningkatkan kapasiti rawatan kesihatan mental.
- Pendekatan perkongsian tugas mengoptimumkan peranan tenaga kesihatan lain bagi memperluas perkhidmatan mental di peringkat primer.
- Lebih 500 pakar perubatan keluarga berkhidmat di peringkat primer, menyediakan perkhidmatan mental di 1,116 klinik seluruh negara.
- Kerjasama dengan kaunselor, sektor swasta dan komuniti bagi memastikan sokongan mental menyeluruh tanpa bergantung sepenuhnya kepada pakar psikiatri.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata antara langkah diambil termasuk meningkatkan latihan kepakaran bagi menangani kekurangan tenaga pakar dalam bidang berkenaan.
“Daripada kira-kira 700 pakar psikiatri berdaftar di Malaysia, sekitar 400 berkhidmat dengan KKM, manakala selebihnya berada dalam sektor swasta.
“Justeru, latihan kepakaran psikiatri diperluas, di samping mengoptimumkan peranan tenaga kesihatan lain melalui pendekatan perkongsian tugas.
“Pendekatan berkenaan turut melibatkan lebih 500 pakar perubatan keluarga yang menyediakan perkhidmatan kesihatan mental pada peringkat penjagaan kesihatan primer,”katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026.
KKM dalam pada itu, turut memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan mental menerusi lebih 500 pakar perubatan keluarga (FMS) yang berperanan di peringkat penjagaan kesihatan primer, termasuk di 1,116 klinik kesihatan seluruh negara.
“Usaha berkenaan turut melibatkan kerjasama dengan kaunselor, sektor swasta dan komuniti bagi memastikan sokongan kesihatan mental dapat diberikan secara lebih menyeluruh, tanpa bergantung sepenuhnya kepada pakar psikiatri,”katanya.
Beliau turut mengesahkan kadar bayaran di fasiliti kesihatan awam kekal RM1 bagi konsultasi doktor am dan RM5 bagi doktor pakar, termasuk pakar psikiatri, bagi membolehkan rakyat mendapatkan rawatan pada kadar minimum.