
KUCHING, 25 Oktober – Sebanyak 27 sekolah di daerah Tebedu akan ditutup sementara pada Isnin susulan keadaan jerebu di kawasan berkenaan.
- Sesi bersemuka diteruskan untuk calon SPM dengan pemakaian pelitup muka mengikut garis panduan.
- PdPR dilaksanakan manakala guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana dibenarkan bekerja dari rumah.
- Arahan penutupan terpakai untuk sekolah di daerah yang merekodkan IPU melebihi 200; ibu bapa boleh tidak menghantar anak dengan memaklumkan sekolah.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, penutupan itu melibatkan sebuah sekolah menengah dan 26 sekolah rendah di bawah seliaan jabatan berkenaan.
“Bagaimanapun, sesi persekolahan secara bersemuka diteruskan bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan pematuhan pemakaian pelitup muka mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Sehubungan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan manakala guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan sementara sekolah,” menurut kenyataan itu.
JPN Sarawak turut memaklumkan, arahan penutupan berkenaan juga terpakai kepada semua sekolah rendah dan menengah di daerah yang merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 200 selepas kenyataan itu dikeluarkan.
Bagi sekolah berhampiran daerah yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 200, guru besar dan pengetua boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR.
Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan mereka akibat jerebu, dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.