Kes rampasan ketamin: Beberapa individu bakal ditahan

Foto AFP

PUTRAJAYA, 25 Oktober – Beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam kes penemuan ketamin dalam kontena penghantaran di Indonesia telah dikenal pasti dan dijangka ditahan hari ini atau esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis sedang mengesan lokasi individu terlibat dan mengenal pasti syarikat yang mempunyai kaitan dengan kes itu.
  • Kapal memulakan perjalanan dari Johor Bahru ke Pelabuhan Klang sebelum meneruskan pelayaran ke Laut Andaman.
  • Terdapat kemungkinan pemindahan muatan antara kapal berlaku di perairan berkenaan.
  • Kapal dimiliki rakyat Malaysia tetapi didaftarkan di Mongolia; kerjasama dengan Indonesia diteruskan untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, polis sedang mengesan lokasi individu berkenaan, selain mengenal pasti syarikat yang mempunyai kaitan dengan kes itu.

“Kita akan menjalankan tangkapan secepat mungkin, mungkin hari ini atau esok bagi mereka yang terlibat.

“Individu terbabit sudah dikenal pasti. Kita sedang mengesan lokasi mereka, manakala syarikat dan pihak lain yang berkaitan juga dalam pengetahuan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa Spectrum di sini.

Beliau berkata, kapal berkenaan memulakan perjalanan dari Johor Bahru sebelum menuju ke Pelabuhan Klang dan meneruskan pelayaran ke Laut Andaman.

Jelasnya lagi, terdapat kemungkinan pemindahan muatan antara kapal berlaku di perairan berkenaan sebelum kapal itu berpatah balik memasuki perairan Indonesia, sekali gus membolehkan pihak berkuasa negara itu menjalankan siasatan dan membuat penahanan.

Beliau berkata, kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia akan diteruskan bagi memastikan semua pihak yang terbabit dibawa ke muka pengadilan.

Maklumat awal menunjukkan kapal berkenaan dimiliki rakyat Malaysia, namun didaftarkan di Mongolia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.