
KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Malaysia gagal menambah koleksi pingat pada hari terakhir Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas beregu boccia negara tewas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa acara beregu campuran BC4 di Nagoya City General Gymnasium, hari ini.
- Malaysia menamatkan kempen dengan 27 pingat: enam emas, lapan perak dan 13 gangsa; kedudukan keseluruhan ke-11.
- Kontinjen mencapai sasaran enam emas, termasuk Wong Kar Gee, Abdul Latif Romly, Cheah Liek Hou, Mohamad Faris, Bonnie Gustin dan Muhammad Zulkafli.
- China mendahului carta pingat dengan Jepun di tempat kedua.
Mohamad Hanafi Mohd Rosli dan Noor Askuzaimey Mat Salim terpaksa akur selepas tewas 2-4 kepada pasangan Thailand, Pornchok Lapyen dan Nuanchan Phonsila, sekali gus menamatkan peluang negara untuk membawa pulang satu lagi pingat gangsa daripada acara berkenaan.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia menutup kempen temasya empat tahun sekali itu dengan pungutan enam pingat emas, lapan perak dan 13 gangsa, menjadikan keseluruhan 27 pingat.
Pencapaian itu meletakkan kontinjen negara di kedudukan ke-11.
China mendahului carta dengan 204 emas, 115 perak dan 108 gangsa, diikuti Jepun dengan 63 emas, 60 perak dan 62 gangsa.
Walaupun gagal menambah pingat pada hari terakhir, kontinjen negara berjaya mencapai sasaran enam pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya berlangsung.
Enam emas negara disumbangkan menerusi kem olahraga para dengan dua emas, masing-masing oleh Wong Kar Gee dalam lompat jauh lelaki T12 dan Abdul Latif Romly dalam lompat jauh lelaki T20.
Badminton para pula menghadiahkan satu emas menerusi gandingan Cheah Liek Hou-Mohamad Faris Ahmad Azri dalam beregu lelaki SU5, manakala Ahmad Tarmizi Zuhairi menyumbang emas berbasikal para dalam ujian masa 1,000m lelaki C4-5.
Dua lagi emas hadir menerusi Bonnie Bunyau Gustin dalam powerlifting bawah 72 kilogram lelaki serta Muhammad Zulkafli dalam acara renang 100m kuak dada lelaki SB4.
Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadualkan melabuhkan tirai menerusi upacara penutupan di Nagoya City Mizuho Athletic Stadium petang ini.