Bina rumah mampu milik berhampiran hab pengangkutan, tingkat kualiti hidup

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Oktober – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggalakkan lebih banyak pembangunan rumah mampu milik berhampiran kemudahan pengangkutan awam dan pusat pekerjaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perumahan dirancang secara strategik bagi memastikan akses lebih baik kepada peluang pekerjaan, kemudahan asas dan perkhidmatan komuniti.
  • KPKT menyeru 156 PBT, pemaju dan perancang memperkukuh penglibatan penduduk dalam proses perancangan pembangunan.
  • Perancangan mesti mengambil kira kanak-kanak, wanita, orang kurang upaya dan warga emas untuk mewujudkan bandar inklusif, selamat dan mesra rakyat.
  • Sambutan dan anugerah menghargai projek Bandar Masa Hadapan, menekankan perubahan iklim, warisan budaya dan kepelbagaian masyarakat.

Saranan berkenaan bagi memudahkan mobiliti harian, mengurangkan beban perjalanan serta meningkatkan kualiti hidup.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pembangunan perumahan perlu dirancang secara strategik bagi memastikan rakyat bukan sahaja mampu memiliki kediaman, malah menikmati akses lebih baik kepada peluang pekerjaan, kemudahan asas dan perkhidmatan komuniti.

“Di bawah kerangka Malaysia MADANI rumah bukan sekadar komoditi, sebaliknya keperluan asas yang menjadi tunjang kesejahteraan rakyat.

“Kejayaan kita menyediakan lebih daripada 511,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara bawah Rancangan Malaysia Ke-12 telah mengatasi sasaran nasional, sekaligus membuktikan komitmen teguh kita dalam usaha ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Kebangsaan, di sini.

Dalam pada itu, beliau menyeru 156 pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju dan perancang bandar supaya memperkukuh penglibatan penduduk dalam proses perancangan pembangunan bagi memastikan keperluan semua lapisan masyarakat diambil kira.

“Ini termasuk kanak-kanak, wanita, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas, selaras dengan usaha mewujudkan persekitaran bandar yang lebih inklusif, selamat dan mesra rakyat,” katanya.

Pada majlis sama, Nga turut menyampaikan Anugerah Skrol Kehormat Malaysia 2026 dan Anugerah Projek Rintis Bandar Masa Hadapan MUF 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan pelbagai pihak dalam memacu pembangunan bandar dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Sambutan Hari Habitat Sedunia tahun ini mengangkat tema “Bandar Masa Hadapan yang Ingin Saya Diami”, mencerminkan aspirasi membangunkan bandar dengan mengambil kira perubahan iklim, warisan budaya, pengalaman pembangunan dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.