Protes di Paris berterusan meski sekatan diperketat

Foto Viory

PARIS, 23 Oktober – Penunjuk perasaan, kebanyakannya pelajar, kembali berhimpun, di sini, semalam bagi membantah pemotongan peruntukan pendidikan dan peningkatan kos sara hidup meskipun perintah berkurung serta kawalan keselamatan diperketat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Demonstrasi diteruskan walau cuti sekolah, berlaku di Le Mans, Lille, Rennes dan di seluruh Perancis.
  • Jurucakap NPA-Revolutionaries mendakwa kerajaan gagal tangani ketidakjaminan pekerjaan dan perlu batalkan rancangan pemberhentian pekerja.
  • Demonstrasi 17 Oktober bertukar menjadi rusuhan, rompakan dan kerosakan harta; lebih 2,300 individu dilaporkan ditahan.
  • Pihak berkuasa mempertahankan langkah keselamatan; polis bersedia laksanakan operasi keselamatan berskala besar pada demonstrasi seterusnya.

Mereka berarak sambil membawa sepanduk dan melaungkan slogan ketika anggota polis membuat kawalan berhampiran lokasi perhimpunan.

Peserta menegaskan kempen bantahan akan diteruskan dan tidak terjejas oleh cuti persekolahan.

“Cuti tidak menghentikan protes. Demonstrasi turut berlangsung di Le Mans, Lille, Rennes dan di seluruh Perancis,” kata seorang pelajar, Mathis.

Jurucakap NPA-Revolutionaries, Gael Quirante pula mendakwa kerajaan gagal menangani isu jaminan pekerjaan dan tuntutan peserta demonstrasi.

“Apabila kita bercakap mengenai ketidakjaminan pekerjaan, jawapannya mesti membatalkan rancangan pemberhentian pekerja. Jika kerajaan tidak mampu menangani isu ini, maka ia tidak berguna,” katanya.

Protes terbaharu itu menyusuli demonstrasi besar-besaran pada 17 Oktober yang bertukar menjadi rusuhan, rompakan dan kerosakan harta benda di beberapa bandar.

Susulan kejadian itu, Perdana Menteri Sebastien Lecornu membenarkan pelaksanaan perintah berkurung di beberapa kawasan termasuk Paris, Lyon, Lille dan Nice.

Lebih 2,300 individu dilaporkan ditahan sepanjang kekacauan berkenaan.

Pihak berkuasa mempertahan langkah keselamatan itu sebagai usaha mencegah keganasan berulang, manakala peserta protes mengkritiknya sebagai sekatan terhadap hak berhimpun.

Demonstrasi seterusnya dijadualkan berlangsung esok, dengan polis bersiap sedia melaksanakan operasi keselamatan berskala besar.

Dalam perkembangan berkaitan, peniaga sekitar kawasan Bastille di Paris mula memasang penghadang pada premis masing-masing sebagai persediaan menghadapi demonstrasi terbaharu.

Pekerja ditugaskan memasang panel pelindung pada tingkap kedai serta penghadang kayu bagi mengelak kerosakan dan rompakan berulang.

“Sebagai persediaan untuk 24 Oktober, kami mula memasang penghadang bagi melindungi kedai kerana sebelum ini sudah berlaku insiden rompakan di jalan ini,” kata Naela, pekerja sebuah kedai kecantikan. – Viory

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.