
PEKAN, 21 Oktober – Keperluan menambah baik prasarana di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) khususnya kolej kediaman dan kemudahan akademik perlu diberi perhatian serius demi kebajikan mahasiswa.
- Seruan kepada Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya membiayai pembinaan kolej kediaman, fakulti dan kemudahan sokongan di UMPSA.
- Universiti mesti memelihara kebajikan mahasiswa termasuk isu tempat tinggal, kos sara hidup, kesihatan mental dan persaingan mendapatkan pekerjaan.
- Mahasiswa digalak memanfaatkan teknologi dan AI untuk memperkukuh pemikiran, bukan sebagai jalan pintas, serta menegur beradab terhadap gejala sosial.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, setiap mahasiswa seharusnya menumpukan perhatian kepada pengajian tanpa dibebani isu tempat tinggal dan kos sara hidup.
Titah Baginda, ketika ini lebih separuh pelajar UMPSA terpaksa mendapatkan penginapan di luar kampus.
“Saya menghargai usaha UMPSA bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam membangunkan Kolej Kediaman Mawaddah berkonsepkan wakaf. Inisiatif sebegini wajar diperluas.
“Saya menyeru Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi, agar memberikan perhatian sewajarnya terhadap pembangunan kolej kediaman, fakulti dan kemudahan sokongan di UMPSA,” titah Baginda.
Titah Baginda lagi, universiti bukan sahaja berperanan sebagai tempat menyuburkan ilmu, malah perlu memelihara kesejahteraan dan masa hadapan mahasiswa yang berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan kesihatan mental serta persaingan mendapatkan pekerjaan.
Dalam Titah sama, Baginda menekankan kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan mahasiswa untuk memperkukuh pemikiran, bukannya dijadikan jalan pintas sehingga mereka menjadi semakin kurang berfikir, mengkaji dan mencipta.
Baginda turut memandang serius gejala sosial dalam kalangan generasi muda, termasuk kecenderungan segelintir mereka yang terpengaruh dengan budaya kebencian serta penghinaan terhadap agama dan institusi.
Justeru, mahasiswa diseru menjadi suara kebijaksanaan dengan berani menegur secara beradab serta mengekalkan pertimbangan ketika berbeza pandangan.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor (DTC) UMPSA, di sini.
Turut hadir ialah Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Mohd Soffi Abd Razak selaku wakil rasmi Menteri Besar Pahang serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts Dr Yatimah Alias berkata, DTC UMPSA mampu memuatkan sehingga 3,500 orang pada satu-satu masa.
Ia menampilkan seni bina tersendiri selari aspirasi UMPSA untuk terus melangkah ke peringkat antarabangsa sambil mengekalkan nilai, budaya dan jati diri Pahang serta Malaysia.
“Reka bentuk dewan ini diinspirasikan daripada wau pungguk, salah satu warisan tradisi yang mempunyai kaitan dengan Pekan, Pahang.
“Inspirasi wau pungguk ini memberikan identiti yang cukup dekat dengan bumi tempat UMPSA bertapak, dengan asal usulnya dipercayai bermula dari Kampung Melati, Pekan,” katanya.