
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) kini dalam proses meneliti dokumen berkaitan beberapa pemain warisan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan Fiji bagi memperkuatkan skuad 15 sebelah (15s) kebangsaan menjelang Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen 1 pada Disember depan.
- Segala dokumen sokongan pemain warisan mesti disahkan sepenuhnya sebelum sebarang pengumuman rasmi kerana isu ini dianggap sensitif.
- Seorang pemain Divisyen satu Amerika Syarikat, berkaitan melalui neneknya, telah nyatakan minat dan dijangka menyuntik tenaga serta kualiti kepada skuad.
- Kejohanan ARC Divisyen 1 di Padang Astaka, Petaling Jaya (9-12 Dis) peluang musim rumah Skuad Bunga Raya tebus kekalahan lalu dan buru laluan kelayakan Piala Dunia.
Setiausaha Agung Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Mohamad Fahmy Abd Jalil memaklumkan antara yang berada dalam senarai pemantauan ialah pemain yang beraksi dalam kancah Divisyen 1 di Amerika Syarikat yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia melalui neneknya.
Pihaknya perlu memastikan segala dokumen sokongan disahkan sepenuhnya sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat.
“Pemain tersebut beraksi di Divisyen 1 Amerika Syarikat dan sudah membuktikan kualitinya. Dia sendiri yang tampil menyatakan minat serta memaklumkan mempunyai pertalian darah dengan Malaysia melalui neneknya.
“Namun begitu, kami perlu memastikan segala dokumen sokongan adalah lengkap memandangkan isu ini amat sensitif pada waktu ini. Kami sedang melalui proses tersebut dan pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas semuanya disahkan,” katanya dalam sidang media majlis undian Kejohanan Ragbi 7 Sebelah (7s) Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Kehadiran tonggak warisan berkenaan dijangka mampu menyuntik tonik tambahan kepada skuad negara dalam menghadapi kejohanan antarabangsa akan datang.
Dalam pada itu Skuad Bunga Raya turut bertekad memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi menjuarai saingan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen 1 yang dijadualkan berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya, 9 hingga 12 Disember ini.
Kejohanan berformat kalah mati itu bakal menemukan Malaysia selaku pilihan pertama menentang India, manakala Kazakhstan dijadualkan berdepan Qatar bagi memburu slot ke perlawanan akhir.
Terdahulu, Skuad Bunga Raya tersingkir ke saingan Divisyen 1 (play-off) selepas tewas kepada Sri Lanka dalam aksi penentuan pada edisi lalu di Colombo, Sri Lanka, sekali gus menjadikan kejohanan laman sendiri medan terbaik untuk menebus kekecewaan tersebut demi laluan ke pusingan kelayakan Piala Dunia.