ALR sasar pulangkan empat lebuhraya pada 2033

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) berjaya melunaskan pembayaran keuntungan dan prinsipal Sukuk berjumlah RM2.149 bilion setakat ini, sekali gus memperkukuh sasaran memulangkan empat lebuh raya di bawah pengurusannya kepada Kerajaan Malaysia menjelang 2033.

RINGKASAN BERITA AI
  • Model operasi swasta tanpa agihan dividen; lebihan hasil disalurkan sepenuhnya untuk melunaskan hutang.
  • Keutamaan mempercepat pemendekan tempoh konsesi KESAS, LITRAK (LDP), SPRINT dan SMART untuk dipulangkan kepada Kerajaan lebih awal.
  • Pengambilalihan Oktober 2022 dibuat tanpa menggunakan dana awam atau jaminan kerajaan, mengelakkan beban pampasan kepada kerajaan.
  • Hasil penjimatan dan kelancaran pembayaran obligasi membolehkan sasaran pemulangan semua konsesi pada 2033, lima tahun lebih awal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, Muhammad Nizam Alias berkata, pencapaian itu susulan pembayaran Sukuk kali kelapan berjumlah RM513.8 juta pada 13 Oktober lalu, merangkumi RM390 juta bagi prinsipal dan RM123.8 juta bagi keuntungan.

Jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan obligasi kewangan ALR sebanyak RM7.935 bilion.

Menurut beliau, ALR beroperasi menerusi model perniagaan swasta yang tidak mengagihkan dividen atau bonus kepada pemegang saham.

“Sebagai entiti swasta yang tidak berorientasikan keuntungan, setiap lebihan hasil tidak boleh dinikmati sebagai dividen, sebaliknya disalurkan sepenuhnya untuk melunaskan hutang sedia ada.

“Keutamaan ALR adalah mempercepatkan pemendekan tempoh konsesi empat lebuh raya di bawah pengurusannya KESAS, LITRAK (LDP), SPRINT, dan SMART supaya dapat dipulangkan semula kepada Kerajaan Malaysia dengan lebih awal,” jelas beliau semasa sesi taklimat media di pejabat SMART

Tambahnya, pengambilalihan empat lebuh raya berkenaan pada Oktober 2022 dilaksanakan tanpa menggunakan dana awam atau jaminan kerajaan.

Langkah itu turut mengelakkan kerajaan daripada menanggung beban kewangan menerusi pembayaran pampasan berikutan penangguhan kenaikan kadar tol.

Hasil penjimatan dan kelancaran pembayaran obligasi kewangan itu membolehkan ALR menyasarkan pemulangan kesemua konsesi kepada kerajaan pada 2033, lima tahun lebih awal berbanding unjuran asal pada 2038.

Dalam pada itu, keempat-empat lebuh raya berkenaan terus mengekalkan penarafan prestasi penyelenggaraan tertinggi, iaitu empat bintang daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Sementara itu, Terowong SMART kekal sebagai infrastruktur penting dalam mengurangkan risiko banjir di ibu negara, dengan berjaya mengalihkan 266.03 juta meter padu air banjir menerusi 685 kejadian sejak mula beroperasi pada 2007.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.