
SUNGAI SIPUT, 21 Oktober -Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak akan menilai keperluan memindahkan gajah liar yang mengganggu ladang penduduk Kampung Perlop 1, Sungai Siput, baru-baru ini.
- Translokasi bergantung kepada kesesuaian lokasi tangkapan, kondisi muka bumi dan akses kenderaan bagi operasi.
- Langkah jangka pendek termasuk operasi tembak halau atau penggunaan dron untuk mengawal pergerakan gajah.
- Kerajaan negeri menyediakan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman sebagai bantuan ihsan, bukan pampasan.
- Mangsa perlu buat laporan polis dan aduan kepada PERHILITAN; pemasangan pagar elektrik disediakan tertakluk syarat dan penyelenggaraan.
Timbalan Pengarah PERHILITAN Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, usaha translokasi itu bagaimanapun bergantung kepada kesesuaian lokasi tangkapan, termasuk keadaan muka bumi dan akses untuk membawa masuk kenderaan bagi operasi tersebut.
Sebagai langkah jangka pendek, PERHILITAN akan melaksanakan operasi ‘tembak halau’ atau menggunakan dron bagi mengawal pergerakan gajah liar berkenaan.
“Jika kawasan itu berbukit-bukau dan sukar diakses lori, selain lokasi gajah yang jauh, kita akan menggunakan kaedah tembakan halau atau dron penghalau untuk mengusir gajah.
“Gajah memerlukan kawasan yang luas untuk bergerak. Jika mengikut keluasan keliaran, seekor gajah memerlukan kawasan sekitar 100 kilometer persegi,” katanya.
Sementara itu, kerajaan negeri bersedia membantu pekebun yang terjejas akibat serangan gajah liar menerusi Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) yang diselaraskan oleh PERHILITAN.
“Bantuan ini bukanlah pampasan ganti rugi, sebaliknya merupakan bantuan ihsan kepada pemilik ladang kelapa sawit, dusun serta penternak yang mengalami kemusnahan dan kerugian akibat kejadian berkenaan.” kata Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Pemilik tanah dan penternak yang terjejas perlu membuat laporan polis serta mengemukakan aduan kepada PERHILITAN bagi membolehkan penilaian kerugian dilakukan bersama jabatan dan agensi berkaitan.
Selain bantuan ihsan, PERHILITAN turut menyediakan bantuan pemasangan pagar elektrik kepada pemilik yang terjejas, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk tanggungjawab menyelenggara kemudahan berkenaan.
Seramai 25 peladang di Kampung Perlop 1 terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit selepas kawasan tanaman seluas kira-kira 101 hektar dirosakkan gajah liar dalam gangguan berulang sejak dua bulan lalu.