
ALOR SETAR, 21 Oktober -Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun, Khor Zhi Kang, meninggal dunia awal pagi tadi selepas melecur 80 peratus akibat terkena renjatan elektrik daripada kabel ketika menyertai perarakan tokong sayur di Mergong, Selasa lalu.
- Bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk mengenal pasti punca kematian.
- Dua lagi mangsa cedera; seorang pelajar 17 tahun melecur 20 peratus pada tangan telah dibenarkan keluar hospital.
- Seorang remaja 17 tahun melecur 40 peratus pada muka dan tangan masih dirawat, kejadian dipercayai apabila bendera tersentuh talian utama elektrik.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, berkata bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
Dalam kejadian itu dua lagi mangsa turut cedera.
“Salah seorangnya pelajar sekolah berusia 17 tahun yang melecur 20 peratus pada tangan sudah sedar dan dibenarkan keluar hospital.
Manakala seorang lagi remaja, 17 tahun yang melecur 40 peratus pada muka dan tangan masih dirawat di hospital sama serta berada dalam pemantauan doktor,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian itu, mereka dipercayai terkena renjatan elektrik selepas bendera yang dibawa ketika perarakan tersentuh talian utama bekalan
elektrik.