
KUALA LUMPUR, 21 Oktober -Peruntukan lebih RM130 juta bagi sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan menerusi Belanjawan 2027 perlu dimanfaatkan secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada penghasilan produk kreatif.
- Peruntukan perlu digunakan untuk membangunkan modal insan, meningkatkan kemahiran dan menjaga kebajikan pekerja seni.
- Fokus bukan hanya penghasilan produk, sebaliknya memastikan kelestarian dan pembangunan ekonomi jingga secara menyeluruh.
- Memastikan penggiat seni menerima gaji bermaruah dan perlindungan sosial atas usaha mereka.
- Tingkatkan kesiapsiagaan teknologi melalui peningkatan kemahiran, program mentor-menti dan latihan amali berbayar untuk penggiat baru.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Iqbal Mohd Noor berkata, dana berkenaan wajar turut digunakan untuk membangunkan modal insan, meningkatkan kemahiran serta menjaga kebajikan pekerja seni.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan peruntukan kerajaan bukan sahaja merancakkan penghasilan karya tempatan, malah menjamin kelestarian industri kreatif negara dalam jangka panjang.
“Perkara yang paling utama adalah memastikan para penggiat industri menerima gaji yang bermaruah serta mendapat sokongan bantuan sosial, agar kehidupan mereka tidak lagi diibaratkan seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’,
“Dana ini seharusnya digunakan bukan sekadar untuk menghasilkan produk semata-mata, sebaliknya perlu dimanfaatkan bagi memupuk dan memperkasakan tenaga kerja agar mereka mampu menikmati kehidupan yang lebih mampan.” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Menurut Mohd Iqbal, langkah itu penting bagi memastikan ekosistem ekonomi jingga atau orange economy yang merangkumi sektor perfileman, muzik, permainan digital, hingga ke bidang seni bina dapat dibangunkan secara menyeluruh dan mampan.
Beliau juga menekankan bahawa salah satu peranan utama pemain industri adalah bagi memastikan para penggiat seni menerima pulangan dan perlindungan yang sewajarnya atas titik peluh mereka.
Mengulas lanjut berkenaan impak Belanjawan 2027, Dr Mohd Iqbal turut mengingatkan pemain industri agar persediaan mendepani kepantasan arus teknologi terkini diberikan perhatian serius melalui peningkatan kemahiran bagi tenaga kerja sedia ada.
Selain itu, persediaan bagi penggiat baharu juga amat kritikal melalui bimbingan berstruktur seperti program mentor-menti serta penyediaan latihan amali yang berbayar.
Beliau menambah, pendekatan sedemikian akan memastikan peruntukan kerajaan tidak dibazirkan, sebaliknya berupaya membina modal insan industri yang lebih berdaya saing.