
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian.
- RCI hanya dipertimbangkan jika terdapat maklumat, bukti atau dapatan kukuh yang menunjukkan keperluan siasatan awam menyeluruh dan bebas.
- Kerajaan akan memastikan isu pengurusan dana awam, tadbir urus dan keputusan pelaburan diteliti berdasarkan fakta, bukti dan mekanisme pengawasan wajar.
- Prosedur: cadangan RCI dikemukakan melalui Memorandum Jemaah Menteri, diluluskan Jemaah Menteri, Perdana Menteri mohon perkenan Agong, kemudian pewartaan dan pelaksanaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia termasuklah sekiranya terdapat maklumat, bukti atau dapatan kukuh yang menunjukkan wujud keperluan untuk suatu siasatan awam bersifat menyeluruh dan bebas.
Beliau berkata kerajaan akan terus memastikan sebarang isu berkaitan pengurusan dana awam, termasuk aspek tadbir urus dan keputusan pelaburan, diteliti berdasarkan fakta dan bukti serta melalui mekanisme pengawasan sewajarnya.
“Sekiranya hasil penelitian mendapati terdapat keperluan dan kepentingan awam yang jelas untuk suatu siasatan khas, cadangan penubuhan RCI boleh dipertimbangkan sewajarnya.
“Dalam menentukan keperluan penubuhan RCI, sama ada melibatkan institusi yang mengurus dana awam mahupun mana-mana institusi lain, kerajaan juga mengambil kira kepentingan awam, keseriusan isu, fakta dan bukti tersedia,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman web Parlimen hari ini(Selasa).
Azalina berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) sama ada kerajaan bersedia mempertimbangkan RCI terhadap KWAP dan KWSP berkaitan tadbir urus, pengurusan pelaburan atau keputusan kewangan yang boleh dipersoalkan.
Mengenai soalan Shahidan berkaitan kriteria dalam menentukan keperluan penubuhan RCI terhadap institusi yang mengurus dana rakyat, Azalina berkata prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa menyatakan, cadangan penubuhannya hendaklah dikemukakan melalui Memorandum Jemaah Menteri oleh kementerian peneraju.
“Memorandum itu kemudian akan dipertimbangkan untuk kelulusan Jemaah Menteri. Setelah dipersetujui, Perdana Menteri akan menyembah maklum cadangan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.
“Sekiranya diperkenankan, penubuhan RCI akan melibatkan penetapan terma rujukan, keanggotaan dan tempoh siasatan, yang kemudiannya dimuktamadkan melalui pewartaan dalam Warta Kerajaan Persekutuan sebelum RCI memulakan fungsinya,” katanya.
– BERNAMA