
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Neutraliti dan integriti Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Yang di-Pertua Dewan Negara perlu terus dipelihara bagi memperkukuh autonomi dan kebebasan institusi Parlimen, khususnya dalam aspek tadbir urus serta pengurusan konflik kepentingan.
- Deklarasi hubungan dan konflik kepentingan mesti dilaksanakan secara telus dan konsisten dalam urusan Parlimen.
- Integriti individu diserlahkan melalui pengurusan dan penyimpanan minit mesyuarat yang teratur bagi ketelusan serta akauntabiliti.
- Pelaksanaan Akta 869 serta mekanisme semak dan imbang penting untuk autonomi Parlimen, pengurusan kewangan dan tadbir urus beretika.
Pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz, berkata deklarasi hubungan dan konflik kepentingan perlu dilaksanakan secara telus dan konsisten, termasuk dalam urusan Parlimen.
Menurut beliau, integriti setiap individu perlu menjadi keutamaan, selain memastikan pengurusan serta penyimpanan minit mesyuarat dilaksanakan secara teratur bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam proses membuat keputusan.
“Saya percaya deklarasi hubungan dan konflik kepentingan perlu dijelaskan dengan telus serta diamalkan secara konsisten, termasuk di Parlimen, sebagaimana yang dilaksanakan dalam agensi kerajaan.
“Integriti juga perlu menjadi keutamaan setiap individu dengan memastikan tahap integriti yang tinggi. Dalam hal ini, aspek pengurusan dan penyimpanan minit mesyuarat juga perlu diberi perhatian supaya rekod berkaitan disimpan dengan baik dan teratur,” katanya.
Prof. Datuk Dr. Shamrahayu menyatakannya dalam rancangan Bicara Naratif bertajuk Reformasi Parlimen: Memperkukuh Institusi, Memartabat Demokrasi di Angkasapuri Kota Media.
Rancangan itu mengupas keperluan memperkasakan institusi Parlimen melalui autonomi, integriti dan tadbir urus berkesan.
Sementara itu, Profesor Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia (MMU), Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berpandangan keputusan Majlis Perkhidmatan Parlimen perlu dilihat sebagai keputusan kolektif yang dibuat menerusi persetujuan bersama, bukannya dikuasai oleh mana-mana individu atau kumpulan.
Beliau berkata, struktur majlis yang tidak memberikan kuasa majoriti kepada mana-mana kumpulan membolehkan urusan pentadbiran Parlimen dilaksanakan secara bersama demi kepentingan institusi berkenaan.
“Keputusan yang dibuat merupakan keputusan kolektif yang dipersetujui semua pihak, tanpa mana-mana kumpulan mempunyai kuasa majoriti dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen. Justeru, saya tidak melihat perkara ini sebagai konflik kepentingan kerana keutamaan kita adalah untuk menerajui, mengurus dan mentadbir Parlimen dengan lebih baik.
“Perkara paling penting di bawah Akta 869 adalah untuk mewujudkan sistem pentadbiran Parlimen yang lebih autonomi dan bebas daripada pengaruh kerajaan serta eksekutif, di samping membolehkan Parlimen mengurus perbelanjaannya sendiri berdasarkan peruntukan yang diluluskan kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan Akta 869 penting bagi membolehkan Parlimen mengurus aspek kewangan, pentadbiran dan perkhidmatannya secara lebih autonomi, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap eksekutif dalam urusan institusi legislatif.
Kedua-dua pakar turut menekankan kepentingan mekanisme semak dan imbang serta pematuhan terhadap etika bagi memastikan tadbir urus Parlimen dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab.
Pengukuhan institusi Parlimen bukan sahaja bergantung pada peruntukan undang-undang, malah memerlukan komitmen berterusan semua pihak dalam mempertahankan prinsip integriti, akauntabiliti dan kebebasan institusi.