
SHAH ALAM, 20 Oktober – Kerajaan Selangor akan menyemak maklumat berhubung kemasukan babi hidup dari negeri lain yang menggunakan Selangor sebagai pintu masuk bekalan sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
- Menteri Besar kata isu perlu diteliti kerana melibatkan keperluan dan kepentingan negeri lain.
- Beliau menyatakan akan menyemak maklumat sebelum menentukan tindakan selanjutnya selepas menghadiri majlis pelancaran kerjasama tiga institusi.
- Kerajaan negeri merancang memperluas latihan pengurusan air hingga tahap doktor falsafah melalui kerjasama Air Selangor, UNISEL dan STDC.
- Setakat ini 138 peserta tamat pengajian di UNISEL manakala 1,500 peserta memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia menerusi STDC.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu kerana urusan berkenaan turut melibatkan keperluan dan kepentingan negeri lain.
“Saya sedang menyiasat perkara ini kerana bekalan berkenaan bukan semuanya untuk Selangor, sebaliknya turut melibatkan negeri lain yang menggunakan Selangor sebagai pintu masuk import.
“Saya perlu menyemak semula maklumat yang diterima sebelum menentukan tindakan selanjutnya.” beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran program kerjasama Air Selangor, Universiti Selangor (UNISEL) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri merancang memperluas latihan dalam bidang pengurusan air sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) menerusi kerjasama tiga institusi berkenaan.
Inisiatif itu bertujuan melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam industri air.
Setakat ini, seramai 138 peserta telah menamatkan pengajian di UNISEL, manakala 1,500 peserta lagi memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia menerusi STDC.