
SEPANG, 20 Oktober – Jabatan Pendidikan Negeri (Selangor) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan kematian seorang murid Tahun Satu yang mengalami kesukaran bernafas di sebuah sekolah di Dengkil, semalam.
- Murid dipercayai tercekik makanan; guru beri bantuan awal sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya, tetapi disahkan meninggal dunia.
- Keutamaan kini tertumpu pada kebajikan keluarga serta kesejahteraan warga sekolah, termasuk bantuan dan sokongan psikososial.
- JPN menasihatkan agar tidak membuat spekulasi, menghormati privasi keluarga dan memberi ruang kepada pihak berkuasa.
Jabatan itu menerusi kenyataan memaklumkan, mangsa yang mengalami kesukaran bernafas dipercayai tercekik makanan telah diberikan bantuan awal oleh guru-guru yang berada semasa kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.
“JPN akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini,” menurut jabatan berkenaan.
Dalam pada itu, keutamaan kini tertumpu kepada kebajikan keluarga mangsa serta kesejahteraan warga sekolah yang terkesan, termasuk penyediaan bantuan dan sokongan psikososial mengikut keperluan.
JPN Selangor menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan.
Semua pihak juga diminta menghormati privasi keluarga mangsa serta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
JPN Selangor turut merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang mendalam kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.