TLDM percepat pemetaan dasar laut menerusi perolehan dua kapal baharu

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Pemetaan dasar laut di perairan Malaysia dijangka dapat dipercepat menerusi perolehan dua kapal hidrografi baharu jenis Survey Motor Launch (SML) oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perolehan diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua RMK13, namun proses mendapatkan aset hidrografi baharu masih belum dimulakan.
  • TLDM kini hanya mempunyai sebuah kapal hidrografi, menyukarkan pemetaan menyeluruh menjelang 2030; diharapkan selesai sepenuhnya menjelang 2050.
  • Selain perolehan, TLDM masih bergantung kepada kapal sewaan kerana aset sedia ada, KD Perantau, sudah berusia.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, berkata penambahan aset itu penting bagi meningkatkan keupayaan pemetaan dasar laut yang menjadi asas kepada penyelidikan saintifik, pembangunan dan keselamatan negara.

Beliau berkata perolehan berkenaan diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), namun proses mendapatkan kedua-dua kapal itu masih belum dimulakan.

“Buat masa ini, kita hanya mempunyai sebuah kapal hidrografi untuk menjalankan pemetaan. Jadi, agak sukar untuk mencapai sasaran meliputi seluruh perairan Malaysia menjelang 2030.

“Dengan perolehan dua kapal SML ini, proses pemetaan dapat dipercepatkan. Kita berharap pemetaan sepenuhnya dapat dicapai menjelang 2050,” katanya selepas merasmikan program Seabed 2030 Indo-Pacific Ocean Mapping Meeting & Data Sprint 2026, di Kuala Lumpur, hari ini.

Tan Sri Dr Zulhelmy berkata, laporan Seabed 2030 mendapati hanya 28.7 peratus dasar laut dunia telah dipetakan mengikut piawaian moden, manakala lebih 70 peratus masih belum dipetakan dengan secukupnya.

Menurutnya, jurang berkenaan memberi implikasi terhadap bidang sains, pembangunan dan keselamatan, sekali gus memperkukuh keperluan untuk meningkatkan keupayaan hidrografi negara.

Selain perolehan dua kapal baharu itu, TLDM masih perlu bergantung pada kapal sewaan bagi mempercepat pemetaan dasar laut, memandangkan aset sedia ada, KD Perantau, sudah berusia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.