
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Pelaksanaan inisiatif Belanjawan 2027 perlu mengambil kira keperluan kelompok rentan, khususnya warga emas yang berdepan kekangan celik teknologi, supaya mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan disediakan kerajaan.
- Pelaksanaan perlu disokong pendekatan berteraskan empati, dengan pengagihan bantuan yang telus dan berintegriti.
- Sediakan saluran alternatif selain aplikasi digital untuk memastikan golongan kurang berkemampuan dapat mengakses bantuan.
- Bantuan tunai berfungsi sebagai penampan jangka pendek, bukan penyelesaian lestari kepada kos sara hidup.
- Industri mesti terlibat dalam penstrukturan gaji untuk memastikan pekerja menerima upah bermaruah dan berterusan.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Zaleha Yazid berkata, pendekatan berteraskan empati itu perlu disokong kaedah pengagihan yang telus dan berintegriti serta penyediaan saluran alternatif.
“Sebagai contoh, bagi warga emas yang mungkin terhad pengetahuannya mengenai teknologi, saluran alternatif yang memudahkan mereka perlu disediakan tanpa bergantung sepenuhnya kepada aplikasi digital semata-mata,” katanya kepada RTM.
Mengulas isu kos sara hidup Profesor Madya Dr Zaleha berkata, bantuan tunai kerajaan berperanan sebagai penampan jangka pendek, namun penyelesaian lebih mampan memerlukan komitmen sektor industri.
“Bantuan kerajaan bersifat jangka pendek, namun untuk jangka panjang, industri perlu memainkan peranan dalam penstrukturan gaji agar pekerja menerima bayaran yang bermaruah dan selayaknya,” katanya.