Baru kahwin 5 bulan, suami isteri ditahan kes dadah 6.3kg

Foto RTM

KUANTAN, 20 Oktober- Polis Pahang menahan suami isteri dan merampas dadah seberat 6,315 gram dengan nilai dianggarkan RM291,250 dalam serbuan di sini, minggu lalu, 12 Oktober.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasangan dipercayai mula menjalankan kegiatan setelah berkahwin lima bulan lalu.
  • Pasangan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
  • Modus operandi: menerima arahan, menghantar bekalan dadah ke lokasi ditetapkan dengan bayaran antara RM1,200 hingga RM1,400 seminggu.
  • Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Akta Perlucuthakan Harta, dengan sitaan kenderaan dan barang kemas.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata kedua-dua suspek berusia antara 40 hingga 46 tahun itu dipercayai mula menjalankan kegiatan berkenaan selepas berkahwin lima bulan lalu.

Menurutnya, pasangan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Keseluruhan dadah yang dijumpai sebanyak 2,170 gram cecair ganja, 1,905 gram heroin, 725 gram pil yaba dan 1,515 gram pil Erimin-5, dengan anggaran berat keseluruhan 6,315 gram dan nilai rampasan dadah dianggarkan RM291,250.

“Jika kesemua dadah ini terlepas ke pasaran, ia mampu merosakkan seramai 20,000 orang,” katanya pada sidang media di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua suspek direman sehingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Datuk Azry berkata modus operandi pasangan itu adalah menerima arahan sebelum menghantar bekalan dadah ke lokasi yang ditetapkan, dengan bayaran antara RM1,200 hingga RM1,400 seminggu.

Beliau berkata siasatan turut dijalankan mengikut Akta Dadah (Perlucuthakan Harta) 1988 membabitkan lima kenderaan dan tiga barang kemas, dengan nilai sitaan dianggarkan RM103,789.

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dalam kes itu dianggarkan RM395,039.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.