SMIPA 2025 bantu promosi Terengganu ke peringkat antarabangsa

Datuk Tengku Mohd Arifin / Foto Jabatan Pelancongan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 20 Oktober – Penganjuran Sultan Mizan International Photography Awards (SMIPA) 2025 menjadi antara platform mengetengahkan keunikan alam, warisan dan budaya Terengganu ke peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penglibatan peserta tempatan dan antarabangsa memperluas pendedahan imej serta potensi pelancongan Terengganu di peringkat global.
  • SMIPA 2025 menghimpunkan lebih 200 peserta, termasuk sembilan antarabangsa, dengan 385 karya dipertandingkan dalam lima kategori.
  • Majlis penganugerahan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam diserikan keberangkatan Pemangku Raja Tengku Muhammad Ismail.
  • Perancangan Muzium Fotografi Diraja Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Rumah Tiang Kembar dijangka dibuka suku kedua 2027.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, penglibatan peserta tempatan dan luar negara membantu memperluas pendedahan terhadap imej serta potensi pelancongan negeri.

“Gambar-gambar yang dikongsikan setiap peserta dapat membuka ruang kepada pihak luar secara global untuk mengenali negeri Terengganu dengan lebih dekat,” katanya kepada RTM selepas SMIPA 2025, di sini.

SMIPA 2025 menghimpunkan lebih 200 peserta termasuk sembilan peserta antarabangsa, dengan 385 karya dipertandingkan dalam lima kategori.

Majlis penganugerahan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam diserikan dengan keberangkatan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail yang turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu merekodkan 381,254 kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa ke pulau-pulau pelancongan negeri bagi tempoh Januari hingga September 2026.

Jumlah itu meningkat 32,023 kunjungan atau 9.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Usaha memperkukuh tarikan berasaskan warisan turut diteruskan menerusi perancangan pembangunan Muzium Fotografi Diraja Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Rumah Tiang Kembar, Jalan Tok Lam, di sini.

Muzium itu akan menempatkan koleksi fotografi bersejarah dan disasarkan dibuka kepada orang ramai pada suku kedua 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.