97.34 peratus tebus Baucar Buku MADANI 2026

Tinjauan penggunaan baucar buku MADANI 2026

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Baucar Buku MADANI 2026 merekodkan kadar penebusan 97.34 peratus setakat ini. Ia melibatkan 2.17 juta murid Institusi pendidikan awam di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

RINGKASAN BERITA AI
  • 5,587,099 naskhah dibeli melalui platform Book Capital di bawah KPM.
  • Program 2026 dijadualkan berakhir 31 Oktober; KPM mensasarkan penebusan 100 peratus.
  • Baucar 2026: 2.23 juta murid dan pelajar layak, RM100 setiap seorang, peruntukan RM230 juta.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh menjelaskan, sebanyak 5.59 juta naskah buku telah dibeli menerusi platform Book Capital.

“Setakat hari ini, sebanyak 5,587,099 naskhah buku telah dibeli menerusi platform Book Capital di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Bagi tahun 2026, program ini dijadualkan berakhir pada 31 Oktober, dengan KPM menyasarkan kadar penebusan sebanyak 100 peratus menjelang tamat tempoh pelaksanaannya,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang ingin tahu kadar penebusan Baucar Buku MADANI tahun 2026, di sini.

Bagi tahun ini, seramai 2.23 juta murid dan pelajar yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta Tingkatan Enam layak menerima baucar buku bernilai RM100 seorang, dengan peruntukan keseluruhan RM230 juta.

Pada 2025, inisiatif Baucar Buku Guru MADANI pula memanfaatkan seramai 428,027 pegawai perkhidmatan pendidikan, melibatkan peruntukan RM43 juta dan pembelian sebanyak 1.55 juta naskhah buku.

Sementara itu, pada 2024, program berkenaan memanfaatkan 3.57 juta penerima, termasuk murid sekolah rendah Tahun Empat dan ke atas, dengan peruntukan RM287 juta. Pelaksanaan inisiatif itu merekodkan pembelian sebanyak 7.8 juta naskhah buku.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.