
KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Ahli Parlimen dinasihatkan supaya berhati-hati memilih perkataan ketika berbahas di Dewan Rakyat bagi mengelakkan kontroversi yang boleh menjejaskan kelancaran persidangan.
- Penggunaan istilah sensitif, khususnya berkonotasi agama seperti 'munafik', boleh menimbulkan salah faham dan menyinggung perasaan.
- Ahli Parlimen digalakkan guna perkataan mudah difahami semua pihak supaya perbahasan kekal tertumpu kepada isu rakyat.
- Pertikaian Peraturan Mesyuarat 36(4) tentang larangan bahasa kurang sopan dibangkitkan; Johari akan membuat keputusan esok.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan, penggunaan istilah sensitif, khususnya yang mempunyai konotasi agama seperti munafik, berpotensi menimbulkan salah faham dan menyinggung perasaan pihak lain.
Beliau berkata, Ahli Parlimen seharusnya menggunakan perkataan yang mudah difahami semua pihak supaya perbahasan kekal tertumpu kepada isu rakyat.
“Kalau orang tuduh saya munafik, saya balik demam terus sebab saya bukan dari sekolah agama. Itu kalau saya orang Islam, orang bukan Islam dengar lagi takut,” katanya sebelum memulakan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Tan Sri Johari berkata, pertikaian berhubung penggunaan perkataan yang tidak difahami semua pihak boleh berlarutan tanpa penyelesaian, sekali gus membazirkan masa persidangan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk membincangkan kepentingan rakyat.
Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(4), yang melarang penggunaan bahasa kurang sopan, susulan penggunaan perkataan munafik atau hipokrit oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tan Sri Johari memaklumkan bahawa beliau akan membuat keputusan berhubung perkara yang dibangkitkan Rayer itu esok.