
TANJUNG MALIM, 19 Oktober – Perak mengaktifkan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) bagi memantau perkembangan bencana dan menyelaras tindakan agensi berkaitan, susulan kejadian ribut dan banjir di beberapa daerah.
- Kerajaan negeri utamakan kebajikan penduduk terjejas, termasuk penyediaan makanan, tempat perlindungan dan keperluan kesihatan.
- Penyelarasan melibatkan 6,283 anggota, 204 bot dan 439 kenderaan pacuan empat roda untuk memastikan bantuan segera.
- Jumlah mangsa di PPS berkurang kepada 54 orang; 55 penduduk daripada 20 keluarga masih berlindung di PPS SK Matang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pusat itu mula diaktifkan sejak semalam untuk tempoh operasi 24 jam.
Kerajaan negeri akan terus memastikan kebajikan penduduk terjejas diberi keutamaan termasuk penyediaan makanan, tempat perlindungan dan keperluan kesihatan.
“Langkah ini memperkukuh kesiapsiagaan melibatkan penyelarasan 6,283 anggota pelbagai agensi serta aset penyelamat termasuk 204 bot dan 439 kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan bantuan dapat digerakkan segera apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak Siri Ke-7 Tahun 2026 di Dewan Seri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM).
Setakat pukul 4 petang tadi, jumlah penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Larut, Matang dan Selama menurun kepada 54 orang daripada 14 keluarga berbanding 90 orang daripada 29 keluarga pada tengah hari tadi.
Manakala, jumlah seramai 55 penduduk terjejas akibat ribut daripada 20 keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Matang.