Pembiayaan RM5.2 bilion perkukuh DNB, pacu 5G negara

Majlis Pertukaran Dokumen Pembiayaan RM5.2 Bilion untuk DNB / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Pembiayaan Islam berjangka bersindiket bernilai RM5.2 bilion dijangka memperkukuh kedudukan kewangan Digital Nasional Berhad (DNB), sekali gus menyokong kelangsungan operasi dan pembangunan rangkaian 5G negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembiayaan memperkukuh kedudukan kewangan DNB, menyokong kelangsungan operasi dan pembangunan rangkaian 5G negara.
  • Langkah ini mencerminkan keyakinan sektor perbankan terhadap prospek DNB dan pentingnya infrastruktur telekomunikasi untuk ekonomi digital.
  • Rangkaian 5G kini mencapai liputan 82.4 peratus kawasan berpenduduk dan perlu terus diperkasa untuk memenuhi keperluan industri serta pengguna.
  • Keupayaan 5G membuka peluang kepada AI, IoT dan bandar pintar; pembiayaan turut menyokong struktur kewangan jangka panjang serta peningkatan kapasiti rangkaian.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pembiayaan itu mencerminkan keyakinan sektor perbankan terhadap prospek DNB serta kepentingan infrastruktur telekomunikasi dalam memacu ekonomi digital negara.

Beliau berkata, rangkaian 5G yang mencapai liputan 82.4 peratus kawasan berpenduduk perlu terus diperkasa bagi memenuhi keperluan industri dan pengguna.

“Rakan strategik yang boleh dipercayai, penyelesaian dan teknologi yang diyakini serta komunikasi yang selamat amat penting, terutama mengambil kira situasi geopolitik semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Dokumen Pembiayaan RM5.2 Bilion untuk DNB di sini, hari ini.

“Teknologi 5G berpotensi digunakan secara meluas berikutan tahap ketersambungan yang tinggi, kependaman rendah dan kapasiti rangkaian yang ditawarkan.

Keupayaan itu juga membuka lebih banyak peluang penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT), selain menyokong pembangunan bandar pintar serta pelbagai aplikasi teknologi lain,” tambahnya lagi.

Beliau turut menekankan kepentingan menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pembangunan teknologi telekomunikasi terkini, di samping memastikan pelbagai teknologi rangkaian dapat beroperasi bersama bagi memenuhi keperluan perniagaan.

Pembiayaan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha DNB membentuk struktur kewangan jangka panjang yang lebih mampan, termasuk membiayai semula kemudahan kredit sedia ada serta menyokong peningkatan kapasiti dan kualiti rangkaian.

DNB sebelum ini mengumumkan penyempurnaan pembiayaan berkenaan pada 1 Oktober lalu sebagai langkah ke arah fasa seterusnya pembangunan rangkaian 5G negara.

Pembiayaan itu turut menyokong peralihan kepada struktur pemilikan sama rata dalam kalangan pemegang saham pengendali rangkaian mudah alih, iaitu CelcomDigi, Maxis dan YTL, tertakluk kepada proses peralihan yang dirancang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.