
RIYADH, 17 Oktober – Arab Saudi dan Syria bersetuju memperkukuh kerjasama keselamatan serantau serta mengecam serangan kumpulan Houthi terhadap kerajaan Arab Saudi.
- Perbincangan di Riyadh menumpukan perkembangan serantau, termasuk peningkatan serangan Houthi ke atas Riyadh.
- Syria mengecam serangan Houthi dan menyatakan solidariti terhadap Arab Saudi.
- Kedua-dua pihak menegaskan keselamatan saling berkait dan berikrar meneruskan penyelarasan serta memperkukuh hubungan dua hala demi kestabilan serantau.
Perkara itu disepakati menerusi pertemuan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, dengan rakan sejawatannya dari Syria, Asaad al-Shaibani yang berlangsung di Riyadh pada Jumaat.
Menurut Agensi Akhbar Saudi (SPA), kedua-dua pemimpin membincangkan mengenai perkembangan serantau termasuk peningkatan serangan Houthi ke atas Riyadh.
Asaad al-Shaibani berkata, pihaknya mengecam serangan terbabit dan menyatakan solidariti Syria terhadap Arab Saudi.
Kedua-dua pihak turut menegaskan bahawa keselamatan Arab Saudi dan Syria saling berkait rapat dengan keselamatan negara-negara Arab secara keseluruhan.
Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin berikrar meneruskan penyelarasan dan kerjasama demi memelihara kestabilan serta keselamatan rantau berkenaan.
Sementara itu, Kementerian Luar Syria memaklumkan, perbincangan tersebut turut menyentuh usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara, selain menyokong inisiatif bagi mengukuhkan keselamatan dan kestabilan serantau.-VIORY