
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menyeru semua pihak dalam ekosistem sukan negara supaya menghormati peranan pengamal media dan mengamalkan komunikasi profesional ketika berdepan perbezaan pandangan serta kritikan.
- Media menyampaikan maklumat, pandangan dan perkembangan sukan yang membentuk pemahaman masyarakat serta menyokong pembangunan sukan negara.
- Laporan mesti profesional dan berasaskan bukti serta fakta melalui temu bual, kajian, semakan maklumat dan rujukan sumber.
- Perhubungan profesional memerlukan komunikasi berhemah, kesediaan menerima kritikan, mengemukakan bukti dan mencari penyelesaian menerusi perbincangan terbuka.
Presidennya, Norismadi Abd Manap berkata, media bukan sekadar melaporkan keputusan pertandingan, malah berperanan menyampaikan maklumat, pandangan dan perkembangan yang membentuk pemahaman masyarakat terhadap sukan negara.
“Peranan ini perlu dihormati kerana media merupakan sebahagian daripada ekosistem yang menyokong pembangunan sukan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, laporan media profesional berasaskan bukti dan fakta yang diperoleh menerusi temu bual, kajian, semakan maklumat serta rujukan kepada sumber berkaitan.
Katanya, setiap laporan dan kritikan perlu dinilai berdasarkan kandungan serta konteks, manakala sebarang kesilapan fakta wajar disertakan bukti bagi membolehkan pembetulan dibuat sewajarnya.
“Kepantasan menyiarkan sesuatu laporan perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab memastikan maklumat disahkan, disampaikan secara tepat dan mengambil kira perspektif pihak berkaitan agar laporan yang diterbitkan kekal berintegriti serta tidak menimbulkan salah faham,” katanya.
SAM turut menegaskan bahawa menghormati media tidak bermakna semua pihak perlu bersetuju dengan setiap laporan atau pandangan yang diterbitkan.
Sebaliknya, hubungan profesional yang sihat memerlukan kesediaan untuk menerima kritikan, mengemukakan bukti dan mencari penyelesaian menerusi komunikasi terbuka.
Sehubungan itu, SAM menyatakan kesediaan untuk menjadi platform perbincangan bagi merapatkan perbezaan pandangan demi memperkukuh ekosistem sukan negara berlandaskan fakta, profesionalisme dan sikap saling menghormati.
“SAM sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan dan maklum balas daripada mana-mana pihak serta bersedia menjadi platform perbincangan bagi merapatkan perbezaan demi kepentingan bersama.
“Media, atlet, jurulatih, persatuan, agensi kerajaan, institusi sukan dan rakan penaja mempunyai peranan masing-masing, manakala hubungan berlandaskan fakta, komunikasi berhemah serta kesediaan mencari penyelesaian merupakan asas penting dalam memajukan sukan Malaysia,” katanya.