
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Inisiatif MyKomuter50 yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 dijangka meningkatkan jumlah pengguna KTMB hampir dua kali ganda kepada lebih 80,000 sehari.
- KTMB kini merekodkan hampir 43,000 penumpang sehari.
- Pas bulanan RM50 mampu menggalakkan lebih ramai pengguna memilih perkhidmatan rel kerana penjimatan ketara.
- Contoh: tambang Tanjung Malim ke Kuala Lumpur RM10.40; kos bulanan RM416; pas RM50 jimat kira-kira RM366 sebulan.
- Perolehan 42 set tren baharu dijangka tingkatkan kekerapan dan kapasiti perkhidmatan ETS serta KTM Komuter.
Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Afzar Zakariya berkata, syarikat itu ketika ini merekodkan hampir 43,000 penumpang sehari.
Menurutnya, pas bulanan bernilai RM50 itu berpotensi menggalakkan lebih ramai pengguna memilih perkhidmatan rel kerana menawarkan penjimatan ketara berbanding pembelian tiket secara berasingan.
Sebagai contoh, tambang dewasa sehala dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur ialah RM10.40, menjadikan perbelanjaan kira-kira RM416 sebulan bagi perjalanan pergi dan balik selama 20 hari bekerja.
“Jika menggunakan pas bulanan RM50, penumpang dapat menjimatkan kira-kira RM366 sebulan, manakala penjimatan setahun adalah RM4,392. Jumlah itu sangat tinggi,” katanya kepada RTM.
Inisiatif MyKomuter50 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan pas tersebut akan dilancarkan seawal 1 Disember ini atau selewat-lewatnya 1 Januari 2027.
Mengulas mengenai perolehan 42 set tren baharu bagi perkhidmatan ETS dan KTM Komuter, Afzar berkata, langkah itu berupaya meningkatkan kekerapan perjalanan serta memperkukuh kapasiti perkhidmatan KTMB.