
SEREMBAN, 16 Oktober – Mahkamah Majistret di sini membenarkan perintah reman tujuh hari sehingga 22 Oktober depan terhadap suami pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan di sebuah kompleks perumahan awam di Nilai, malam tadi.
- Suspek menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, memaklumkan mengenai kematian isterinya.
- Mangsa, pegawai AKPS, ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia; pemeriksaan awal mengesyaki kecederaan akibat tikaman.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 302; polis menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan tampil memberi maklumat.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah terhadap suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan suspek telah menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor kira-kira pukul 9.30 malam tadi yang memaklumkan mengenai kematian isterinya.
“Mangsa yang merupakan pegawai AKPS ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan disyaki akibat tikaman dan siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada perselisihan rumah tangga,”katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta meminta individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.