
SYDNEY, 16 Oktober – Bintang pasukan New Zealand, Kalyn Ponga, berdepan kemungkinan terlepas baki saingan Piala Dunia Ragbi selepas beliau disahkan patah tangan ketika perlawanan pembukaan menentang Australia.
- Ponga menjaringkan dua try dan melakukan terjahan, tetapi New Zealand kalah 24-22 di Sydney.
- Beliau terus bermain selama 20 minit selepas cedera sebelum meninggalkan padang pada minit ke-70.
- Doktor Greg Macleod mengesahkan pembedahan untuk patah tulang radius lengan kiri; mungkin kembali sebelum perlawanan akhir.
- Kapten James Fisher-Harris memuji semangatnya, menganggap Ponga pemain penting bagi usaha New Zealand menjuarai Piala Dunia.
Pemain berasal dari barat Australia itu, menjaringkan dua try dan melakukan terjahan bagi menghalang jaringan lawan, namun pasukannya tewas 24-22 di Sydney pada Khamis.
Ponga meneruskan permainan selama 20 minit selepas mengalami kecederaan sebelum meninggalkan padang pada minit ke-70.
Doktor pasukan, Greg Macleod, berkata dalam satu kenyataan bahawa kapten Newcastle Knights itu dijadualkan menjalani pembedahan selepas mengalami patah tulang radius di lengan kirinya.
“Kami mendoakan agar pembedahannya hari ini berjalan lancar,” kata Macleod, sambil tidak menolak kemungkinan Ponga kembali beraksi sebelum perlawanan akhir kejohanan pada 15 November.
“Kita akan lihat bagaimana keadaannya, tetapi buat masa ini beliau akan kekal bersama kem pasukan,” katanya.
Ponga dianggap sebagai pemain penting dalam usaha pasukan Kiwis memburu gelaran Piala Dunia pertama mereka sejak 2008.
New Zealand akan menentang Kepulauan Cook di Christchurch minggu depan sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Fiji.
“Dia seorang pemain yang kental dan jelas mempunyai semangat yang tinggi untuk menyarung jersi hitam putih. Dia juga tidak mahu mengecewakan rakan sepasukannya,” kata kapten Kiwis, James Fisher-Harris, selepas perlawanan.
“Saya fikir dia melakukan tugas yang luar biasa. Dia pemain yang luar biasa. Kami bersimpati dengannya ketika ini,” katanya.
Australia turut berdepan kebimbangan berhubung kecederaan apabila pemain tengah, Mitchell Moses, mengalami kecederaan betis dalam perlawanan itu dan terpaksa berjalan terhincut-hincut meninggalkan padang pada awal separuh masa kedua. – AFP