
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Ketelitian, ketepatan dan keadilan perlu menjadi keutamaan pengamal media, terutama ketika melaporkan isu membabitkan reputasi mana-mana pihak.
- Persaingan berita pantas tidak boleh mengabaikan keperluan mendapatkan konteks lengkap dan penjelasan daripada semua pihak terlibat.
- Media harus beri hak untuk menjawab dan ruang penjelasan secukupnya kepada pihak yang dilaporkan.
- Manfaatkan SMS, WhatsApp atau panggilan untuk maklum balas langsung; jika enggan komen, nyatakan dalam laporan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, persaingan menerbitkan berita dengan pantas tidak seharusnya mengatasi keperluan mendapatkan konteks lengkap serta penjelasan daripada semua pihak terlibat.
“Apabila kita terlalu mengejar siapa yang paling pantas menyiarkan berita, kita mungkin terlepas pandang perkara lebih penting, iaitu konteks, ketepatan maklumat dan keadilan kepada semua pihak,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook.
Datuk Seri Fahmi berkata, beliau terpanggil mengulas perkara itu susulan hantaran tular membabitkan jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley dan pelumba negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang baru-baru ini.
Menerusi video sama, beliau turut menegaskan hak untuk menjawab serta ruang memberi penjelasan harus diberikan secukupnya kepada pihak dilaporkan.
Pengamal media, katanya, perlu memanfaatkan saluran komunikasi sedia ada termasuk SMS, WhatsApp atau panggilan telefon bagi mendapatkan maklum balas secara langsung.
“Kita perlu mengutamakan sentuhan kemanusiaan dengan memberi ruang kepada mereka untuk menjawab dan menggunakan hak memberikan maklum balas.
“Sekiranya mereka enggan memberikan komen, nyatakan perkara itu dalam laporan,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi turut menzahirkan penghargaan kepada atlet, jurulatih serta penggiat sukan negara atas komitmen dan usaha mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.