
PALANGKARAYA, 15 Oktober – Jerebu tebal menyelubungi bandar Palangkaraya di Indonesia dengan langit bertukar jingga pada Khamis sekali gus menyebabkan jarak penglihatan merosot kepada hanya beberapa puluh meter susulan kebakaran hutan yang mencetuskan krisis pencemaran udara di rantau itu.
- Asap kebakaran hutan Indonesia merebak ke negara jiran; Kuala Lumpur, Singapura, Medan dan Jakarta catat tahap pencemaran tinggi.
- Kebakaran berbulan-bulan menyebabkan penutupan sekolah tiga hari di Timor-Leste dan gangguan aktiviti harian penduduk.
- Penduduk dan pekerja luar terjejas; mata pedih, penglihatan terhad, memakai pelitup muka namun terus bekerja untuk mencari nafkah.
- Kebakaran lebih serius kerana El Nino, tanah gambut terbakar sukar dipadam; kerajaan kerah bomba dan cuba eksperimen ais kering.
Turut terkesan, Kuala Lumpur yang menduduki tempat teratas dalam senarai bandar utama dunia dengan pencemaran udara tertinggi berdasarkan pemantauan IQAir pada Khamis, diikuti Singapura, manakala Medan dan ibu negara Indonesia, Jakarta, turut mencatatkan tahap pencemaran yang tinggi.
Kebakaran berlarutan selama beberapa bulan di Indonesia menyebabkan asap merebak ke negara sekitar. Pada Khamis, Timor-Leste memulakan penutupan sekolah selama tiga hari susulan keadaan jerebu.
Penduduk yang paling terkesan ialah mereka yang tinggal berhampiran kawasan kebakaran, termasuk di Palangkaraya, Kalimantan, apabila langit bertukar jingga pada Rabu sebelum kekal kekuningan akibat jerebu pada Khamis.
Pemandu e-hailing motosikal, Heri berkata, jerebu tebal mengehadkan jarak penglihatan ketika bekerja, selain menyebabkan matanya terasa pedih.
“Sejak beberapa hari kebelakangan ini, asap sangat tebal. Saya bekerja di luar, jadi terpaksa menyedut udara tercemar walaupun memakai pelitup muka.
“Saya masih perlu bekerja dan sudah bergelut dengan jerebu ini selama empat bulan. Jika tidak bekerja, saya tidak memperoleh pendapatan. Semua orang terpaksa berdepan dengan asap tebal ini,” katanya.
Di Timor-Leste, penduduk di ibu negara itu, Dili meneruskan aktiviti harian meskipun langit kekuningan, namun kebanyakan mereka memakai pelitup separuh muka seperti yang disarankan kerajaan sebelum mengumumkan penutupan sekolah.
Penduduk menyambut baik keputusan itu, meskipun mereka berkata pencemaran udara lebih teruk pada awal minggu ini.
Bidan di Dili, Sonya da Costa Soares berkata, keadaan jerebu tebal mengehadkan sinaran matahari selain menyifatkan keputusan menangguhkan sesi persekolahan sebagai langkah keselamatan.
“Kebelakangan ini, pencemaran udara di Dili sangat teruk. Kami tidak dapat melihat matahari kerana pencemaran yang begitu tebal.
“Keputusan menangguhkan sesi persekolahan sebagai langkah sangat penting supaya kanak-kanak tidak terdedah kepada bahaya,” katanya.
Indonesia sering berdepan kebakaran hutan ketika musim kering, namun kebakaran tahun ini lebih serius berikutan fenomena El Nino sehingga menyebabkan keadaan kemarau.
Kebakaran memusnahkan ratusan ribu hektar kawasan hutan dan ladang di Sumatera, Borneo serta Papua, hingga meningkatkan pencemaran udara di kawasan terjejas dan negara sekitar, termasuk Malaysia, Singapura, Filipina serta Timor-Leste.
Seorang pelajar berusia 18 tahun di Kolej St Ignatius Loyola di Dili, Vitaliano da Costa Calapes, berkata beliau sedang membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan yang bakal berlangsung.
“Kami berharap pencemaran udara akan berakhir dalam beberapa hari lagi dan sesi persekolahan dapat kembali seperti biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Indonesia mengerahkan puluhan ribu anggota bomba untuk memadamkan kebakaran, namun usaha mengawal api masih berdepan kesukaran.
Pada Khamis, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Dudung Abdurachman berkata, negara itu dijadual menjalankan eksperimen melepaskan ais kering di beberapa kawasan di Sumatera Selatan bagi membantu mengurangkan kebakaran.
“Insya-Allah, sekiranya kaedah ini berjaya, kita akan meneruskannya di kawasan lain,” katanya.
Kajian mendapati sebahagian besar jerebu berpunca daripada kebakaran di kawasan tanah gambut.
Kebakaran di kawasan itu sukar dipadamkan kerana api boleh terus merebak di bawah permukaan tanah apabila ekosistem yang lazimnya tepu air menjadi kering akibat aktiviti penanaman.
Walaupun kemarau menyumbang kepada kebakaran, pakar berkata penebangan hutan dan pengeringan tanah gambut telah merosakkan landskap yang sebelum ini lebih tahan terhadap kebakaran.
Saintis kanan Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernicus, Mark Parrington, berkata, anggaran jumlah kumulatif pelepasan daripada kebakaran setakat ini masih lebih rendah berbanding 2015.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa musim kebakaran masih berbaki beberapa minggu, manakala kesan terhadap kualiti udara kekal sangat serius dan berlarutan.- AFP