Promosi kumpulan haram di TikTok, 29 individu dicekup polis

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Seramai 29 individu ditahan dalam operasi khas Op Mega TikTok 2026 kerana disyaki mempromosikan dan menyebarkan dakyah berkaitan pertubuhan haram menerusi platform media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dilaksanakan Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
  • Suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Tataacara Jenayah, Seksyen 47, 43 Akta Pertubuhan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi.
  • Polis komited memelihara keselamatan negara, meneruskan operasi penguatkuasaan bersepadu dan minta orang ramai salur maklumat melalui saluran rasmi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar menerusi kenyataan memaklumkan, operasi yang dijalankan bermula 10 hingga 12 Oktober itu dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Jelas beliau, tangkapan melibatkan 28 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 18 hingga 49 tahun di 11 kontinjen iaitu Selangor, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Sabah serta Sarawak.

“Kesemua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti peranan mereka dalam kumpulan
serta penglibatan dalam aktiviti jenayah lain.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 47 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi suspek warga asing,” katanya.

Jelas beliau, polis komited memelihara keselamatan negara dan akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan jenayah terancang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi turut diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja berkongsi rakaman video yang berpotensi menimbulkan kegusaran awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya terus menerusi saluran rasmi PDRM atau balai polis berhampiran,” jelas kenyataan sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.