Pelan tindakan jerebu: Keselamatan, kesihatan murid jadi keutamaan

Suasana jerebu menyelubungi ibu negara dengan beberapa bangunan pencakar langit kelihatan samar dan menjejaskan jarak pengelihatan ketika tinjauan dari Menara Merdeka 118 hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Keselamatan dan kesihatan murid sekolah kekal menjadi keutamaan dalam pelan tindakan menangani jerebu di seluruh negara tanpa menjejaskan kelangsungan proses pembelajaran secara berpanjangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keselamatan dan kesihatan murid menjadi keutamaan dalam pelan tindakan jerebu tanpa menjejaskan kelangsungan pembelajaran.
  • Operasi institusi pendidikan ditentukan mengikut garis panduan KPM dan penilaian kualiti udara semasa.
  • JPBN dan agensi digesa tingkat kesiapsiagaan, aktifkan PKOB bila perlu; orang awam dinasihat rujuk sumber rasmi dan elak aktiviti luar berisiko.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan menegaskan, sebarang keputusan berhubung pengoperasian institusi pendidikan bagaimanapun adalah tertakluk sepenuhnya kepada garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta penilaian keadaan kualiti udara semasa.

Penekanan itu merupakan susulan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta hasil libat urus bersama agensi berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), KPM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) digesa mempergiatkan kesiapsiagaan di peringkat negeri melalui pemantauan kualiti udara secara berkala dan penyelarasan tindakan segera di kawasan terjejas.

“NADMA menegaskan tindakan menangani jerebu perlu berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan mengambil kira bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), keadaan cuaca, risiko pembakaran terbuka dan kesan terhadap kesihatan awam.

“JPBN perlu memastikan sumber manusia, peralatan dan logistik mencukupi. Sekiranya keadaan bertambah serius, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) hendaklah diaktifkan mengikut tatacara operasi bagi mempercepat bantuan kepada penduduk,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, orang ramai terutamanya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu berpenyakit pernafasan dinasihatkan mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah sekiranya kualiti udara merosot.

Ibu bapa juga disaran sentiasa peka dan mengikuti pengumuman rasmi daripada KPM atau pihak pentadbiran sekolah mengenai sebarang perubahan takwim atau sesi persekolahan.

Pada masa sama masyarakat turut diingatkan agar tidak mencetuskan kegusaran awam dengan menularkan maklumat palsu, sebaliknya merujuk sumber rasmi JAS bagi bacaan IPU, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk ramalan cuaca serta Kementerian Kesihatan (KKM) bagi panduan nasihat kesihatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.